“Panggil saja Zack. Yang
lain awak tak perlu tahu,” putusnya
mudah.
“Pagi tadi awak kata awak akan selamatkan saya. Awak
suruh saya percayakan awak. Macam mana saya nak percayakan
awak, kalau nama sendiri pun awak nak rahsiakan?” Adni
meluahkan rasa tidak puas hatinya.
“Dan jangan kata, saya tak perlu tahu. Ini nyawa saya
yang jadi taruhannya. Saya yang jadi mangsa. Ada dua lelaki
bertopeng cuba menangkap saya pagi tadi. Lelaki yang saya
yakin, saya tak pernah kenal dan tak pernah buat salah pada
mereka.
Kalau awak tahu kenapa, awak kena beritahu saya. Kalau
saya terpaksa meletakkan nyawa saya kepada awak, saya berhak
tahu. Saya berhak tahu!” tegasnya dengan penuh keyakinan
dan kesungguhan.
“Saya tahu, Adni.”
Sekali lagi Adni tergamam. Bukan kerana ketenangan
Zack menghadapi amarahnya. Bukan itu. Dia lebih terkejut
mendengar namanya disebut oleh Zack. Seingatnya, ini
kali kedua lelaki itu menyebut namanya. Dia sendiri hampir
terlupa akan hal ini jika Zack tidak menyebut namanya
kembali.
Macam mana Zack tahu namanya? Sedangkan seumur
hidup, dia tidak pernah mengenali lelaki itu. Adni sedaya
upaya memerah ingatan. Cuba memerah kembali memori di
mana dia pernah bertemu dengan lelaki ini.
“A... awak tahu nama saya? Macam mana awak tahu
nama saya? Kita pernah berjumpa ke sebelum ini? Tapi... tapi
kenapa awak masih nak berahsia tentang nama awak?”
“What’s in a name, Adni? That which we
call a rose by
any other name would smell as sweet.”
Sekali lagi Adni terkedu. Lelaki itu memetik kata-kata
Shakespeare. Daripada kata-katanya, Adni yakin Zack bukan
sebarangan orang. Pasti tinggi ilmunya. Kalau tidak, masakan
dapat memetik kata-kata penyair agung itu.
“Sekali lagi saya tanya. Mana awak tahu nama saya?”
Adni melihat Zack tunduk sedikit. Seperti mahu menimbang
permintaannya ataupun barangkali cuba menyembunyikan
sesuatu. Dia tidak pasti. Apa yang dia tahu, dia hampir
kehilangan kata-kata apabila mata misteri itu kembali merenungnya.
“Maafkan saya. Buat masa ni, biarlah awak tak tahu
dulu. Bersabarlah. Segala-galanya akan terbongkar satu hari
nanti.” Zack memutuskan untuk terus berahsia.
Kata-kata itu menyebabkan Adni terdiam. Dia tidak lagi
memaksa Zack supaya berterus terang. Hari ini, dia akan
mengalah. Dia yakin perkara yang menjadi rahsia itu selamanya
tidak akan menjadi rahsia lagi. Sampai waktu nanti, dia
akan tahu segala-galanya.
Bandar Seri Damansara
KHAIRY gelisah. Setelah 24 jam, masih tiada berita daripada
Adni. Pagi tadi apabila menerima panggilan daripada Murni
bertanyakan kenapa Adni tidak datang untuk perjumpaan
dengan Encik Adham, dia sudah berasa sesuatu yang pelik.
Pertama, dia tahu Adni tidak pernah ke mana-mana tanpa
memberitahunya terlebih dahulu. Kalau tidak pun, Adni akan
beritahu Encik Kamarulzaman, bapa saudaranya. Kedua,
Adni tidak akan membatalkan temu janjinya begitu sahaja.
Pasti ada alasan yang menyebabkan dia tidak menghubungi
mereka. Bukan perangai Adni bertindak sebegini.
Khairy bimbang. Benar-benar bimbang. Baru sebentar
tadi, dia bersama Encik Kamarulzaman, pak ngah Adni ke
balai polis untuk melaporkan kehilangan Adni. Walaupun
pihak polis berjanji untuk menyiasat kehilangan itu, dia
masih tidak berpuas hati. Selagi dia tidak mendengar sendiri
suara Adni, dia tidak akan tenang.
Dia perlu tahu sesuatu untuk melegakan perasaan
gusarnya. Adni... ke mana you pergi? Di mana you sekarang
ni? Marahkan I lagikah? Kembalilah Adni... kembalilah. I
janji, keadaan akan berubah antara kita. I tak akan marahmarah
lagi. Tolonglah kembali kepada I.
Encik Kamarulzaman memandang penuh simpati wajah
sugul Khairy. Semenjak dari tadi, anak muda itu asyik termenung
panjang sahaja. Dia tahu Khairy risaukan Adni. Dia
juga begitu. Bimbangkan nasib satu-satunya anak saudara
yang dia ada.
Adni Zuhayra merupakan penyambung waris yang tinggal
dalam keluarga arwah abangnya yang meninggal beberapa
tahun dahulu. Dan dia telah berjanji untuk menjaga anak itu
seperti anaknya sendiri. Malah, dia tidak pernah membezakan
Adni dengan anak-anaknya yang lain.
Kini, Adni menghilangkan diri. Rasa pedih menghuni
dalam hatinya. Nampaknya, dia gagal untuk menunaikan
janji. Tetapi, dia tidak boleh membiarkan rasa sedih membelenggu
dirinya. Untuk Adni, dia tidak boleh membiarkan
perasaan menguasai fikiran. Dengan perlahan, dia merapati
Khairy yang masih dengan wajah sugulnya.
“Jangan bimbang. Kita dah lapor pada polis. Mereka akan
cari dia,” pujuknya cuba melegakan hati sendiri.
“Saya bimbang, pak ngah. Adni tak pernah buat macam
ni. Kalau dia nak pergi mana-mana pun, dia akan cakap.
Bukan hilang macam ni saja. Entahlah, saya takut sesuatu
berlaku padanya,” luah Khairy dengan penuh kebimbangan.
“Kamu jangan fikir bukan-bukan. Jangan susah hati dengan
perkara yang kita tak tahu hujung pangkalnya. Pak
ngah tak percaya dia hilang. Lagipun, kamu sendiri cakap
dengan pak ngah yang Adni merajuk dengan kamu.
Tentu dia ke mana-mana nak hilangkan rasa marahnya.
Kita tunggu saja. Entah-entah dia pergi bercuti ke manamana.
Kita saja yang risau tak tentu hala.”
Khairy menggeleng. Bercakap memang senang. Lagipun,
Adni tunangnya. Memang wajar dia bimbang. Kalau benar
Adni merajuk dengannya sekalipun, Adni tak akan pergi begitu
sahaja. Dia kenal siapa Adni. Dia tahu gadis itu tidak
akan bertindak cuai begini. Pasti ada sesuatu. Tetapi apakah
dia?
Batang Kali, Selangor
Z ACK berjalan perlahan menuju ke
tempat
yang dijanjikan. Setiap langkah diatur dengan
begitu hati-hati agar tidak meninggalkan
sebarang bunyi. Walaupun dia tahu, dia
akan bertemu Tony, tetapi dia masih perlu berwaspada.
Dia tahu, tiada jaminan bahawa rahsianya dengan Tony
tidak terbongkar. Black mungkin mengesyaki sesuatu
dan memaksa Tony memberitahu tempat persembunyian
me reka.
Mengenali Black, dia yakin bukannya payah untuk Black
membuka mulut seseorang. Namun, apa yang paling ditakuti,
mungkin juga bukan Tony yang datang berjumpa
dengannya malam ini. Matanya terus mengawasi keadaan
sekeliling. Walaupun malam itu begitu hitam dan pekat, dia
masih lagi boleh melihat. Masih boleh merasai sekiranya
ada sesuatu yang bergerak di sekelilingnya. Walaupun dia
tidak dapat melihat sekalipun, dia boleh bergantung pada
pendengarannya. Selama ini, kelebihannya itu tidak pernah
mengecewakan.
Zack melihat jam di pergelangan tangannya. Masih ada
lima minit sebelum Tony muncul. Dia cepat-cepat memanjat
ke atas sebatang pokok. Dia lebih senang begini. Sekiranya
ada sesuatu yang berlaku di luar jangkaan, dia boleh bertindak
pantas.
Dia boleh memerangkap musuhnya di saat mereka tidak
bersedia. Zack tersenyum dalam diam. Pasti mereka terkejut
dengan tindakannya. Walau sesiapa pun, tentu mereka tidak
akan menyangka bahawa dia sedang memerhati dari atas
pokok.
Tiba-tiba telinganya menangkap sesuatu bunyi. Bunyi
burung hantu. Dia membiarkan bunyi itu berulang beberapa
kali sebelum dia turut membalas dengan bunyi yang sama.
Dia tahu Tony sudah tiba. Mereka telah berjanji menggunakan
bunyi itu sebagai kata laluan.
“Zack!” laung satu suara.
Di atas pokok, Zack tergamam. Itu bukan suara Tony.
Matanya tajam memerhati dari mana suara itu bergema. Dia
kaku dalam kedudukannya. Sebarang pergerakan kecil pasti
akan membawa padah. Telinganya tajam mengamati suara
garau itu. Pot! Apa yang dia buat di sini? Mana Tony?
“Zack, aku tahu kau kat sini. Keluar! Kau takkan dapat
sembunyi selamanya.” Laungan Pot umpama petir membelah
ketenangan malam yang gelita.
Mana Tony? Kenapa dengan Tony? Adakah Tony sengaja
mahu memerangkapnya? Tidak! Zack menafikan. Tony tidak
akan buat begitu. Tony tidak akan memperjudikan persahabatan
mereka. Zack yakin pasti ada sesuatu yang berlaku
kepada Tony.
Mengenangkan Tony, rasa pedihnya bertandang. Adakah
Tony terpaksa menggadaikan nyawa untuk
kannya? Adakah mereka telah buat sesuatu pada Tony untuk
membuka mulutnya?
“Zack, kau tak sepatutnya campur tangan dalam hal ni.
Kau tak ada hak! Serahkan perempuan tu. Aku akan lepaskan
kau pergi. Kau masih ada peluang untuk hidup kalau kau
serahkan perempuan tu. Kau dengar tak? Kau jangan jadi
bodoh.”
Pot terus bersuara dengan harapan Zack akan mendengar
dan menurut katanya walau di mana sahaja dia bersembunyi.
Dia cuba melihat dalam keadaan gelap itu, namun apa yang
dapat dilihatnya adalah hitam semata-mata.
Zack masih diam menanti. Otaknya bersimpang-siur
mencari jalan keluar tanpa disedari oleh Pot. Dia harus
pergi dari situ dengan segera. Jika Pot tahu tempat ini, tidak
mustahil Pot mengetahui tempat di mana dia menyembunyikan
Adni. Mengenangkan Adni, jiwanya merusuh tiba-tiba.
Bagaimana dengan Adni? Selamatkah dia?
Apa pun yang berlaku, dia tidak seharusnya memperjudikan
nasib Adni. Dia mesti pulang untuk memberi amaran
kepada Adni. Dengan perlahan, dia turun dari pokok. Dalam
kegelapan, dia dapat melihat Pot sedang membelakanginya
ketika ini. Merasakan ini satu peluang, Zack dengan cermat
mendekati Pot yang masih tidak menyedari kehadirannya.
Zack melangkah dengan perlahan, takut terpijak daun
kering dan ranting yang patah. Tangannya menyeluk pistol
yang tersemat di pinggang. Muncung pistol itu disuakan ke
kepala Pot.
“Letakkan pistol kau!”
Pot yang masih tidak menyedari, terperanjat melihat
Zack tiba-tiba muncul di belakangnya. Muncung pistol terasa
begitu sejuk di kepalanya.
“Jangan bagi aku ulang!” gertak Zack.
Mahu tidak mahu, Pot terpaksa akur. Seperti mana Chua,
dia juga tidak berani untuk mencabar keupayaan Zack. Dan
tubuhnya masih lagi berasa sakit dibelasah Zack semalam.
“Fikir balik apa yang kau buat ni, Zack! Black pasti takkan
lepaskan kau. Kenapa kau nak menentang kami?” pujuk Pot,
cuba melengahkan masa.
“Keputusan aku, biar aku yang tentukan betul atau salah.
Pesan dengan Black, jangan ganggu aku dengan Adni lagi.
Kalau dia masih berdegil, aku akan menanti. Aku tak akan
bagi peluang lagi.” Serentak dengan itu, dia menghentak
kepala Pot dengan pistol.
Seperti semalam, Pot terkulai layu. Zack tidak membuang
masa lagi. Dia terus berlari meninggalkan tempat itu. Jantungnya
berdebar mengenangkan Adni. Ya ALLAH, selamatkan
dia. Jangan biarkan aku terlewat walaupun seminit.
Kuala Kubu Bahru
ADNI terjaga daripada tidurnya apabila terasa bayang-bayang
manusia menghampiri. Memikirkan dirinya dalam bahaya,
dia terus sahaja menjerit meminta tolong. Namun, belum
sempat jeritannya keluar, mulutnya dipekup dengan tangan
yang kekar.
“Syyy... saya ni,” kata Zack dengan nada yang amat perlahan.
Di atas katil, mata Adni terbeliak melihat lelaki itu
lengkap berpakaian hitam.
“Saya lepaskan, tapi jangan jerit okey?” pesan Zack lagi.
Adni mengangguk. Dia tidak bercadang untuk berbuat
demikian setelah tahu siapakah gerangan bayang-bayang
itu. Dia tahu, Zack keluar malam tadi apabila menyangkakan
dia telah tidur. Sebenarnya, dia hanya berpura-pura tidur.
Apabila melihat Zack keluar, dia tidak pula cuba untuk
melarikan diri. Dan, dia tidak cuba pula untuk menghubungi
Khairy. Kenapa? Dia sendiri tidak tahu jawapannya.
“Jom, kita kena pergi sekarang!” gesa Zack lagi sambil
beredar ke tingkap.
Tanpa membuang masa, Adni bangun dari pembaringan.
Dia tidak perlu bersiap kerana sejak semalam pakaiannya
masih tidak bertukar. Ini satu perkara lagi yang dia mesti
bincangkan
bersama Zack. Bersembunyi satu hal, tapi sekurangkurangnya
dia perlu ada pakaian ganti. Dia sudah tidak selesa
memakai pakaian yang sama.
Zack menoleh untuk melihat sama ada Adni sudah bersiap,
namun dia hampir diserang sakit jantung apabila melihat
Adni sudah terpacak di belakangnya.
“Jom...” gesa Zack sambil mengatur langkah dengan berhati-
hati. Mereka bergerak melalui pintu belakang. Di sana
ada sebuah kenderaan pacuan empat roda sedang menanti.
“Tunggu sini kejap. Saya nak periksa kereta tu,” pinta
Zack seraya berlari-lari anak ke kereta itu. Dia menunduk
ke bawah kereta untuk melihat sesuatu yang luar biasa atau
yang boleh membahayakan. Namun, keadaan kereta itu
masih seperti biasa. Tiada wayar yang bercantum dengan
peledak ataupun jam masa. Setelah memeriksa apa yang
patut, Zack kembali kepada Adni.
Semasa berjalan itu, bulu romanya meremang. Langkahnya
terhenti. Dalam kegelapan, dia cuba melihat jauh ke
dalam hutan. Entah mengapa, perasaannya kuat mengatakan
ada mata yang sedang memerhati. Tanpa membuang masa,
dia berlari mendapatkan Adni.
“Ambil ni,” katanya sambil menyerahkan kunci kereta.
“Dari sini, awak bawa kereta terus kira-kira tiga kilometer.
Lepas tu, ikut kiri. Awak akan jumpa jambatan. Tunggu
saya kat situ dalam masa 15 minit. Kalau saya tak ada, awak
pergi dulu. Jangan berhenti walau apa yang berlaku sekalipun.
Terus pergi balai polis terdekat. Minta perlindungan.
Faham?”
Adni tergamam apabila mendengar Zack tidak akan bersamanya.
Macam mana kalau ada yang menahannya di tengah
jalan? Macam mana kalau dua orang lelaki bertopeng
itu datang lagi?
“Jangan takut, Dinie. Saya akan lindungi awak.”
“Ta... tapi…”
“Sudah, kita tak banyak masa lagi. Awak pergi dulu.”
Adni mengangguk. Dia menghidupkan enjin kereta, dan
membetulkan kedudukan kerusi sehingga dia berasa selesa.
Hampir menitis air matanya apabila tiba-tiba Zack membantunya
mengenakan tali pinggang keledar.
Zack yang menyangka perubahan wajah Adni adalah
kerana takut, cepat-cepat bersuara. “Jangan bimbang, Adni.
Awak tak akan apa-apa.”
Dengan bibir terketap, Adni sekali lagi mengangguk.
“Pergi!” arah Zack dengan nada yang lembut tetapi
tegas.
“Zack...” Adni cepat-cepat memanggil apabila melihat
Zack sudah berpaling mahu pergi.
Lelaki itu menoleh.
“Saya akan tunggu awak.”
Zack tergamam mendengar keputusan itu. Bibirnya terkumat-
kamit seolah-olah mahu menyatakan sesuatu. Tetapi
hanya sepatah yang keluar. “Dinie...”
“Walau apa pun, awak mesti datang,” balas Adni tekad.
Tanpa menunggu balasan daripada Zack, dia terus memecut
pergi dari situ.
Zack memerhati seketika sebelum dia turut sama hilang
di dalam kegelapan malam, memburu lelaki atau sesiapa saja
yang sedang memerhatikan tingkah laku mereka sebentar
tadi.
Adni memecut laju Land Cruiser memecah keheningan
malam. Sejak keluar dari pekarangan rumah, dia tidak
menoleh lagi. Terus sahaja memandu seperti orang gila.
Namun, dia begitu berhati-hati. Dia tidak mahu kerana
kecuaiannya akan mengakibatkan bahana yang lebih besar.
Yang penting, dia mesti segera sampai di jambatan itu dan
menunggu ketibaan Zack.
Sampai di jambatan yang dimaksudkan, dia berhenti
dengan membiarkan enjin terus hidup. Dia melirik jam di
pergelangan, tempoh 15 minit itu akan tamat tetapi dia tetap
akan menunggu di situ sehingga Zack muncul. Dia bertekad
tidak akan membiarkan Zack keseorangan.
Kini, tinggal lagi empat minit sebelum masa itu berakhir.
Adni gelisah. Dia takut sesuatu yang buruk berlaku pada diri
pemuda itu. Dalam dia asyik memikirkan Zack, tiba-tiba dia
menegakkan tubuhnya apabila teringatkan sesuatu.
Tadi, Zack ada memanggilnya Dinie. Mana Zack tahu
nama itu? Tiada siapa yang tahu tentang nama manjanya
itu. Khairy sendiri pun memanggilnya Adni. Dia benar-benar
hairan. Hanya seorang saja yang memanggilnya begitu.
Seseorang yang menciptakan nama itu khas untuknya.
Dan insan itu telah lama tiada. Dia menekup mulut apabila
memikirkan kenyataan yang berada di depan mata. Diakah?
Benarkah dia? Tapi... tapi mustahil!
Adni tersentak sekali lagi bila tiba-tiba cermin kereta diketuk
seseorang. Dia menjerit ketakutan. Tetapi apabila
wajah Zack dijamah, dengan pantas dia menekan central lock
bagi membolehkan Zack masuk.
“Cepat jalan, Adni!” sergah Zack dengan suara yang termengah-
mengah.
Adni tidak memerlukan arahan kali kedua. Dia terus
menekan minyak dan kereta meluncur laju menuju destinasi
yang dia sendiri tidak tahu.
“Kenapa? Apa yang berlaku?” soal Adni tanpa mengalihkan
matanya dari jalan raya. Hal panggilan nama manjanya
itu dilupakan buat seketika. Bila tiba masa yang sesuai nanti,
dia akan meminta penjelasan daripada lelaki itu.
“Nantilah...” balas Zack sambil menoleh. Meninjau sama
ada kereta mereka diekori ataupun tidak. Hanya apabila
benar-benar memastikan tiada kenderaan lain yang mengekori,
barulah dia memandang ke hadapan semula. Dia menarik
nafas penuh lega.
Dalam perjalanan, dia memikirkan kembali apa yang
berlaku ketika Adni meninggalkannya. Tepat seperti yang
dijangka, Black dan Chua sedang memerhatikan segala
pergerakannya. Setelah beberapa lama tidak bertemu muka,
akhirnya mereka bersua kembali.
Chua nampaknya tidak sabar-sabar lagi hendak menghabiskan
riwayatnya, namun sempat dihalang oleh Black.
Zack terperanjat dengan tindakan itu. Dia menyangka, Black
sendiri yang akan menamatkan hidupnya, namun lelaki itu
hanya diam.
Memikirkan dia masih mempunyai peluang untuk mengubah
fikiran Black, Zack cuba memujuk supaya mereka
membatalkan rancangan, namun lelaki itu tetap berdegil.
“Awak okey ke?” Pertanyaan Adni mengembalikan Zack
ke alam realiti.
Zack tidak menjawab, tapi cuma mengangguk sahaja.
Dia kembali memejamkan mata. Kata-kata Black sekali lagi
menghantui fikirannya.
“Serahkan perempuan tu. Aku bagi peluang sampai
tengah hari esok. Kalau tak... anggaplah hutang kita sudah
selesai. Permusuhan kita akan bermula. Aku takkan lepaskan
kau lagi.”
Kuala Lumpur, sarang Blackhawk
“BODOH! Macam mana mereka boleh
hilang?”
Black menggenggam erat gagang
telefon. Suara di hujung talian kedengaran
begitu marah. Dia sudah agak, apabila dia melaporkan
perkembangan itu, pasti akan menimbulkan kemarahan
pihak sebelah sana.
Dia sendiri tidak sangka Zack begitu licik sehingga gagal
dikesan. Maruahnya semakin tercabar. Dia telah berjanji
untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin, namun
semakin hari ianya semakin sukar.
Dan kini, Zack mempunyai Tony untuk menolongnya.
Tak guna... pembelot! Kau ingat aku tak tahu apa muslihat
kau? Nahas kau kalau aku dapat. Tanpa sedar, Black melepaskan
penumbuknya ke atas meja, membayangkan wajah Zack
dan Tony yang dipecahkan.
“Aku dengar banyak cerita bagus tentang kau, Black.
Sama ada mereka bohong atau taring kau dah tumpul.” Suara
di sana ketawa. Menaikkan darah Black yang sedia menggelegak.
“Jangan sampai aku yang kena sudahkan kerja kau. Kau
tahu apa akibatnya!” Suara itu memberi amaran. Tanpa
menunggu jawapan, gagang diletakkan.
Tanpa sedar, telefon yang berwarna putih itu berkecai
apabila dicampak oleh Black ke dinding. Pot dan Chua
hanya memandang. Mereka tidak berani bersuara saat Black
berkelakukan begitu.
“Zack!!! Nama aku bukan Black kalau aku tak tewaskan
kau.” Tekad Black penuh membara. Dia tidak boleh mengharapkan
orang lain lagi. Kali ini, dia yang akan mengorak
langkah.
Nampaknya, dia terpaksa campur tangan. Permintaannya
supaya Zack menyerahkan perempuan itu tidak ditunaikan.
Tempoh yang diberi kepada Zack juga telah lama berakhir.
Dia tahu, Zack tidak akan mendengar ugutannya. Dia juga
bodoh kerana melepaskan peluang semalam.
Tanpa sedar, dia mengeluh. Satu perkara yang amat
jarang sekali dilakukan dalam hidupnya. Dia terpaksa mengharapkan
diri sendiri untuk menyudahkan tugas yang diberi.
Kali ini, tiada peluang kedua buat lelaki bernama Zack.
Rumah Tumpangan Crystal, KL
ZACK menekan butang redial di telefon bimbitnya.
Hampir
dua jam, dia cuba menghubungi Tony, namun sehingga kini
masih tidak berjaya. Hanya rakaman suara yang meminta
untuk ditinggalkan pesanan sahaja. Ah... kacau. Dia perlu
tahu kenapa Tony gagal menepati janjinya untuk bertemu.
Dia juga mahu tahu bagaimana Pot boleh berada di tempat
pertemuan. Dan bagaimana Black dan Chua boleh sampai di
rumah persembunyiannya?
Yang paling penting, dia kena pastikan Tony tidak mengkhianatinya.
Telefon bimbit yang berada di genggaman hampir
sahaja terjatuh ke lantai apabila sekali lagi dia menerima
suara yang meminta dia meninggalkan pesanan.
Zack memicit dahinya mengenangkan Tony. Sebenarnya,
dia risau memikirkan nasib temannya itu. Apakah sesuatu
telah berlaku kepada Tony? Salahkah tindakannya melibatkan
Tony dalam perkara ini? Akalnya menafikan.
Dia menjeling sekilas pada Adni yang nampaknya diam
sahaja sejak mereka tiba di tempat persembunyian baru.
Seingatnya, kali terakhir mereka bercakap ialah semasa
dalam perjalanan ke mari. Selepas itu, Adni hanya diam
membisu.
Setiap kali dia memandang, dia perasan yang Adni akan
cepat-cepat mengalihkan pandangan. Kadangkala apabila
mata mereka bertemu, Adni segera menundukkan wajah.
Seolah-olah tidak sanggup untuk memandangnya lebih
lama.
Apa yang tidak kena? Kenapa tiba-tiba dia berubah sikap?
Zack bingung. Soal Tony masih belum selesai, dan sekarang
dia terpaksa berhadapan dengan mood Adni yang tiba-tiba
berubah. Apa lagi yang tidak kena?
“Kita rehat kat sini dulu. Nanti baru kita atur perjalanan
semula.” Zack memberitahu sekali lagi. Dia menyewa sebuah
rumah tumpangan murah setelah memastikan tiada siapa
yang mengekori mereka.
Adni pula tidak berkata apa-apa apabila dia hanya meminta
sebuah bilik sahaja. Bukannya dia mahu melakukan perkara
yang tidak elok, tetapi sekiranya apa sahaja yang berjadi, dia
akan lebih mudah untuk bertindak. Dan dia tidak perlu risau
memikirkan Adni yang tiada di depan matanya.
Mujur juga tauke rumah tumpangan itu berketurunan
Cina, jadi tidak perlu banyak bersoal jawab. Dia duduk di atas
katil bersebelahan Adni. Sengaja dia mahu memancing reaksi
gadis itu. Dia tahu ada sesuatu yang mengganggu fikiran
Adni ketika ini.
“Hantarkan saya balik...” Adni tiba-tiba bersuara.
Berkerut dahi Zack mendengar permintaan itu. Matanya
bertemu dengan mata Adni. Cepat-cepat gadis itu melarikan
pandangan. Sekali lagi Adni mengulangi permintaannya.
“Kenapa? Apa yang tak kena? Kenapa tiba-tiba berubah
fikiran?”
“Tak ada apa. Saya cuma nak balik!” tegas Adni. Dia masih
tidak berani bertentangan mata dengan Zack.
“Dengan keadaan awak macam ni, awak masih nak balik?
Awak sedar tak yang awak dalam bahaya sekarang?” terang
Zack, mahu membuatkan Adni sedar dengan situasi yang
mereka alami. Adni perlu tahu yang keadaan mereka amat
serius. Keadaan terlalu bahaya kerana ia melibatkan nyawa
mereka.
“Apa bezanya dengan keadaan saya sekarang?” soal Adni
yang akhirnya mempunyai kekuatan membalas pandangan
Zack.
“Maksud awak?” soal Zack. Dia yakin ada sesuatu di sebalik
jawapan berbentuk pertanyaan itu.
Adni hanya ketawa kecil. Cuba menutup perasaan gentarnya.
Dia telah membuat keputusan untuk bersemuka dengan
Zack. Walau apa pun yang berlaku, dia akan mendapatkan
jawapannya malam ini juga.
“Salah ke apa yang saya cakap? Sekarang ni, saya hanya
ada kata-kata awak semata-mata. Ya, awak selamatkan saya
daripada lelaki-lelaki jahat tu. Awak sanggup bertarung
untuk melindungi saya. Dalam sekelip mata, saya kena percayakan
awak. Saya ikut ke mana saja awak bawa saya. Saya
tak
pernah persoalkan motif awak.”
Adni berhenti seketika untuk melihat reaksi Zack. Kerutan
di dahi lelaki itu menunjukkan bahawa dia masih tidak faham
kenapa Adni menimbulkan persoalan ini. Namun, Adni terus
menyambung kata-katanya.
“Tapi... mana saya tahu, entah-entah awak bersubahat
dengan mereka? Entah-entah ini semua rancangan awak?
Dalam masa 24 jam ni, hidup saya betul-betul berubah. Awak
datang macam puting-beliung. Memporak-perandakan hidup
saya.
Saya tak ada masa nak berfikir. Tak sempat nak buat
keputusan. Saya serahkan bulat-bulat pada awak, sedangkan
selama ini saya bukan macam tu. Apa jaminan yang awak tak
berbohong pada saya?”
“Saya dah cakap, awak kena percayakan saya...” tekan
Zack serba salah. Dia tahu apa kehendak Adni sebenarnya.
“Percayakan awak?” Adni mengangkat tangannya tanda
memprotes.
“Hah... macam mana saya nak percayakan awak sedangkan
nama sendiri pun awak nak rahsiakan? Kalau awak betul
nak tolong saya, awak tak akan berahsia begini. Awak mungkin
anggap saya perempuan lemah, tapi saya tak bodoh. Awak
kena beritahu saya sekarang. Kalau tak, saya akan tinggalkan
tempat ni. Saya tak bergurau,” ugutnya lagi sambil melihat
Zack berperang dengan perasaannya.
Dia terus menunggu. Menanti dengan hati yang berdebar.
Bagaimana kalau Zack memilih untuk berterus terang?
Bersediakah dia untuk menghadapi kenyataan? Bersediakah
dia menerima bahawa segala telahannya itu benar belaka?
Dia mahu Zack menyedari kesilapan itu dan mengakuinya
sendiri, namun sehingga kini lelaki itu masih berdegil untuk
berterus terang.
Selama ini, dia berasa hairan bagaimana Zack tahu di
mana tempat kerjanya. Bagaimana Zack tahu namanya. Dan
apabila dia berada dalam kesusahan, lelaki itu tidak teragakagak
untuk membantu dan menyelamatkannya.
Dia yakin selama ini Zack sentiasa mengawasinya. Lelaki
itu selalu berada di sisinya walaupun dia tidak merasai kehadiran
itu. Patutlah Zack beria-ia benar tidak mahu memberitahu
nama sebenarnya. Dia bangun dan memandang tepat ke
dalam mata lelaki itu.
“Sampai bila awak nak sembunyikan perkara sebenar...
Izz Karami?”