Tuesday, October 9, 2012

RBB 1


NTAH apa yang membuatkannya terjaga malam
itu. Cepat-cepat dia menarik kembali selimut
yang sudah berada di hujung kaki. Tidur malam
yang kegelisahan, sehingga tidak sedar bila
masa selimut bercorak bunga violet itu melurut hingga ke
hujung katil.
Dengan pantas, dia menutup seluruh tubuh dengan selimut
itu. Hendak duduk lama-lama, dia sudah tidak mampu.
Walaupun di biliknya sendiri, dia seakan tidak dapat membasuh
segala kegelisahan. Di bawah selimut, dia membuka
mata perlahan-lahan. Cuba mengintai sekeliling bilik. Masih
tercari-cari apakah punca dia berperasaan sebegini.
Namun, malam yang gelap itu seakan menghalang hasratnya.
Sinaran bulan seperti tidak sudi untuk menemaninya
malam ini. Tidak seperti malam-malam sebelumnya, bulan
gemilang pada waktu malam. Selalunya sebelum tidur, dia
akan memastikan lampu bilik air akan terpasang. Tetapi,
bagaimana dia boleh terlupa? Dalam keadaan gelap itu, dia
semakin berpeluh.
Cengkerik dan unggas-unggas malam pula seperti bisu.
Tiada lagi bunyi-bunyi yang mengganggu tidurnya saban
malam. Walaupun bising, namun mendamaikan. Dia tahu
ada yang tidak kena. Dia kehairanan dan sedang menahan
takut yang kian merengut tangkai hatinya. Apa yang sedang
berlaku? Sepi yang mencengkam membuatkan fikirannya
menjadi semakin tidak enak.
Andai di kala itu sebatang jarum jatuh ke lantai, ianya
mampu membingkitkan suasana sepi ini. Apa yang menyebabkan
kegusaran ini bersarang? Apa yang berlaku sehingga
degupan jantungnya menjadi begitu kencang?
Dia mahu bangun. Berbaring begini sambil memikirkan
perkara yang bukan-bukan benar-benar melemaskan jiwanya.
Dia mahu bergerak, tetapi kenapa tubuhnya seakan dipaku
di atas tilam empuk ini? Kenapa terasa bagaikan beban batu
yang bertan-tan menghempap tubuhnya?
Dia dapat merasakan manik-manik halus mula menghiasi
dahi, leher dan telapak tangan. Saat ini hanya ada penyesalan
yang amat sangat. Kalau inilah yang akan berlaku, pasti
dia akan menerima pelawaan Murni untuk bermalam di
rumahnya. Tetapi, dia menolak kerana memerlukan ruang
untuk bersendirian. Dia perlukan masa untuk menyelesaikan
kekusutan yang dialami kebelakangan ini.
Tetapi tika ini, mengapa dia mengharapkan kehadiran
Murni? Mengapa ruang peribadi yang sering diperuntukkan
untuk diri sendiri seakan tidak mampu menenangkan jiwanya
yang resah? Mengapa dia merasakan seperti ada kehadiran
‘sesuatu’ yang tidak diundang? Kehadiran yang bakal memporak-
perandakan hidupnya. Kehadiran yang bisa mengubah
hidupnya sampai bila-bila.


Bandar Raya Kuala Lumpur
“A KU nak keluar.” Zack bersuara tibatiba.
Dia berdiri secara berhadapan dan
merenung empat orang temannya yang
sedang rancak ketawa. Entah apa yang
lucu, dia tidak mengambil kira. Yang pasti, kata-kata yang
diluahkan bakal mematikan gelak yang kedengaran begitu
sumbang di telinganya.
Perbualan yang begitu rancak di dalam ruang yang luas
itu mati tiba-tiba. Kesemuanya menoleh menatap wajah
Zack yang sedang berdiri di muka pintu. Mereka faham apa
maksudnya, sebab itulah tiada siapa pun yang mengambil
peduli akan kata-kata itu.
Seorang lelaki bangun membuka peti ais yang terletak di
bahagian timur bilik. Dia mengeluarkan beberapa tin minuman
dan menghulurkan kepada teman-teman yang sedang
menanti. Dengan gaya yang bersahaja juga, dia meneguk minuman
berkarbonat itu dengan rakus. Tidak sampai beberapa
saat, tin yang sudah kosong itu dicampak ke sudut bilik, tepat
memasuki sebuah bakul sampah kecil yang berada di situ.
Black tersenyum bangga melihat kehebatannya sendiri.
“Aku serius, Black. Aku nak keluar!” ulang Zack lebih
tegas. Dia tahu apabila dia menyuarakan hasratnya, dia pasti
menerima tentangan hebat daripada ahli kumpulannya itu.
Mungkin mereka menganggapnya bergurau, tetapi kali
ini mereka silap. Mulai hari ini, tiada siapa yang dapat menghalang
keputusannya lagi.
Kalau ikutkan hati, dia boleh sahaja meninggalkan kumpulan
itu tanpa berpaling lagi. Namun, akalnya menahan.
Hatinya juga keberatan. Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan.
Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu tindakan itu nanti
akan menimbulkan perasaan kurang senang di hati ahli kumpulannya.
Walaupun dia tahu, dia sedang mempertaruhkan
nyawa untuk keluar dari situ.
Black menghenyakkan tubuhnya ke sofa yang agak lusuh.
Matanya tajam memerhatikan Zack. Cuba menilai sejauh
mana pemuda itu bersungguh dengan keputusannya. Bukan
sehari dua dia mengenali lelaki itu. Bukan juga setahun dua,
tetapi sudah hampir enam tahun. Sedikit sebanyak, dia dapat
membaca perwatakan lelaki itu walaupun kehidupan peribadinya
begitu rahsia.
Black merenung lagi. Selama tiga bulan ini, hanya itu
saja yang diperkatakan oleh orang kanannya itu. Kalau dulu,
dia tidak mengendahkan langsung. Malah, dia tidak membenarkan
Zack bercakap mengenainya. Tetapi kini, apabila
melihat seriusnya wajah Zack, dia tahu, lelaki itu tidak boleh
dihalang lagi.
Dia melihat Zack membalas renungannya tanpa perasaan
gentar. Sesungguhnya, dia tahu tiada apa yang boleh menakutkan
lelaki itu.
“Kau tahu apa kau cakap ni?” Akhirnya, Black membuka mulut memperdengarkan suaranya yang amat garau.
Kadangkala kata-katanya amat sukar difahami, namun setelah
bersama beberapa tahun, mereka sudah dapat membiasakan
diri.
Zack tidak pernah bertanya kenapa suara Black begitu.
Dia tidak pernah berminat untuk mengetahui. Dia sendiri
juga tidak suka apabila mereka cuba membongkar masa silam
yang amat dilindunginya.
Namun, dia terdengar juga perbualan daripada rakan yang
lain. Suara Black jadi begitu kerana lehernya pernah dicekik
dengan tali sehingga menyebabkan peti suaranya cedera
teruk beberapa tahun lalu. Sebab apa, dia tidak bertanya.
“Dah lama aku fikir. Aku tak nak terus macam ni. Tak ada
akhirnya hidup aku kalau terus macam ni.”
“Kau lupa janji dan sumpah kau dengan kumpulan kita?
Walau apa pun yang berlaku, kita tak akan berpecah. Kau
lupa?” sergah Black menyebabkan yang lain tersentak.
Suasana yang hening itu menjadi semakin sepi. Masingmasing
tahu Zack sengaja mencari nahas. Perlahan-lahan
mereka bangun menghampiri Black dan Zack. Pasti perkara
buruk bakal berlaku nanti.
Sejak dahulu lagi Black memang terkenal dengan sikap
panas barannya. Kalau tidak bersebab, tiada siapa yang berani
mencari nahas dengan Black. Dan kini, orang kepercayaan
Black sendiri yang membangkitkan kemarahan lelaki berparut
di pipi itu. Mereka juga terpaksa akui, dalam kelompok
mereka, hanya Zack seorang sahaja yang berani menentang
arahan Black.
Kini, ketua dan penolong kanan itu seperti mahu berpatah
arang berkerat rotan. Mereka tahu permintaan Zack
memang tidak masuk akal. Mereka melangkah dengan berhati-
hati dan bersedia dengan apa saja kemungkinan yang
bakal berlaku. Apa pun puncanya, mereka tidak mahu
pertumpahan darah berlaku di antara anggota kumpulan
sendiri.
“Aku tak lupa. Aku tak pernah lupa. Cuma, aku tak nak
teruskan lagi. Cukup setakat ini.” Zack cuba bertenang.
Dia tahu, dia telah membangkitkan kemarahan Black.
Dalam pada itu juga, dia bersedia dengan apa yang bakal
terjadi. Black, kalau dilanda marah akan bertindak seperti
orang tidak siuman. Hampir sedekad mengenali lelaki itu
cukup memberikannya ruang memahami tingkah laku dan
perwatakan Black yang bengis.
“Kau ingat senang-senang kau nak keluar? Kau ingat aku
akan bagi kau keluar?” balas Black lagi benar-benar tidak
berpuas hati dengan keputusan Zack.
“Aku tak mintak izin kau untuk keluar. Aku dah buat
keputusan. Sama ada kau terima atau tak, aku tetap akan
keluar.”
Dalam sekelip mata, suasana berubah. Black mengacukan
senjata ke arah Zack. Memaksa Zack menarik balik keputusannya.
Dia tahu, sesiapa pun akan berasa takut apabila
menyedari maut semakin hampir. Sesiapa pun akan mengubah
keputusan apabila menyedari Browning 9 mm High
Power diacukan ke kepala.
Black semakin berang apabila Zack tidak menunjukkan
apa-apa reaksi. Lelaki di hadapannya ini seakan sudah
tekad. Argh... Zack sepatutnya takut dan merayu agar dia
diberi peluang. Tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Genggaman Black semakin kejap.
“Black, jangan buat kerja bodoh.” Tony menegah. Dia
cuba menjernihkan keadaan. Salah seorang daripada mereka
perlu masuk campur untuk meredakan kemarahan Black. Dia
tidak mahu sesuatu yang buruk menimpa teman rapatnya.
Peluh memercik seluruh tubuhnya mengenangkan nasib
yang bakal diterima oleh Zack.

 “Kau diam!” jerit Black. Matanya berapi-rapi menahan
marah. Sakit hatinya semakin membara apabila pengikut
sendiri mempertikaikan tindakannya.
Zack memandang Tony dan menggeleng perlahan. Dia
tidak perlukan bantuan Tony atau sesiapa untuk menuntut
kebebasan dirinya. Lebih penting lagi, dia tidak mahu memperjudikan
nyawa Tony.
“Pistol di tangan kau. Kau buatlah keputusan. Sama
ada hidup atau mati, aku tetap akan keluar dari tempat ni,”
ujarnya penuh tekad.
Mereka berbalas pandangan. Zack dengan wajah tenang,
dan Black dengan desah nafas yang kedengaran begitu kuat.
Ketika itu, mereka berdua sedang membaca fikiran masingmasing.
Melihat Black yang masih tidak bersuara, membuatkan
Zack mengambil keputusan nekad. Dia kenal siapa Black.
Dia tidak akan mengambil masa begitu lama untuk membuat
keputusan. Kalau Black sudah tetap dengan sesuatu, dia akan
segera bertindak.
Tanpa menunggu jawapan, dia berpaling dan melangkah
pergi tanpa menoleh lagi. Meninggalkan rakan-rakan yang
diyakini tidak akan ditemui selepas ini. Meninggalkan sebuah
kisah hidup yang penuh dengan duri dan liku. Meninggalkan
kenangan silam yang begitu memualkan. Meninggalkan
hampir separuh hidupnya di belakang.
Dalam pada itu, dia masih menanti saat-saat peluru menembusi
dada atau kepalanya. Walaupun dia yakin Black akan
melepaskannya, namun terbit juga rasa gentar dalam hati.
Meramal tingkah laku Black seperti meramal cuaca. Disangka
hujan akan turun, namun kadang-kadang panas yang menjelma.
Dia menunggu dan terus menunggu. Sehingga langkah
yang terakhir, dia masih lagi tegak berdiri.
Sebaik saja dia menutup pintu, Zack jatuh terduduk.
Kakinya terasa terlalu lemah untuk berdiri. Dia tidak
menyangka akan berjaya menghadapi saat itu. Dia menduga
tubuhnya akan terbujur kaku akibat keputusannya itu, tetapi
syukurlah TUHAN masih memeliharanya.
Syukurlah, ALLAH masih memberinya peluang untuk
bertaubat. YA ALLAH… terima kasih, bisiknya berkali-kali
dengan rasa sebak yang menggila. Pertama kali dalam hidup,
air matanya gugur.
Zack memandang keadaan sekeliling. Setelah beberapa
tahun menjadi manusia perlarian, kini dia rasa benar-benar
dapat menikmati keindahan alam maya. Langit membiru
menyambut kepulangannya dengan mesra.
Awan berarak perlahan membawa bayu yang bertiup
sepoi-sepoi bahasa. Seakan penawar luka yang menyakiti
jiwanya sekian lama. Untuk pertama kalinya, dia menarik
nafas lega dan kini dia bebas, sebebas-bebasnya!
EMPAT manusia di dalam bilik kecil itu masih lagi kaku
setelah Zack menutup pintu. Seketika kemudian, suasana
di dalam bilik kembali hingar-bingar. Seakan tidak percaya
melihat Zack berjaya keluar dari kumpulan yang amat digeruni
oleh kumpulan-kumpulan lain.
Apa yang lebih memeranjatkan, Black dengan mudah
melepaskan Zack pergi, walaupun pada awalnya dia kelihatan
begitu marah dan menentang. Apa yang membuatkan
ketua mereka itu mengubah fikiran? Apa istimewanya Zack?
Namun, persoalan itu hanya mampu diluahkan dalam hati.
Chua mengerling ke arah Tony memberi isyarat supaya
bertanyakan hal itu pada Black, namun Tony hanya mengangkat
bahu. Dia tidak masuk campur dalam hal ini. Baginya,
Zack benar-benar beruntung kerana berjaya melepaskan diri.
Nasib mereka tidak dapat dipastikan lagi. Bila-bila masa saja
mereka boleh menemui ajal. Kalau bukan di tangan polis,
mungkin di tangan kumpulan lain yang sama-sama mahu
merebut kuasa siapa yang paling hebat.
Tony kembali ke mejanya semula dan memikirkan
bagaimana dia boleh menghubungi Zack selepas ini. Sebenarnya,
dia tahu Zack akan mengambil tindakan itu hari ini kerana
Zack ada mengajaknya untuk pergi bersama. Tetapi, dia
enggan kerana dia sudah tiada sesiapa lagi. Hanya Blackhawk
saja keluarganya yang tinggal.
“Kau nak lepaskan dia pergi macam tu saja?” tegur satu
suara.
Tony dan Chua berpaling pada suara itu. Wajah Pot dipandang
dengan penuh perasaan kagum. Pemuda itu memang
pendiam dan tidak banyak cakap. Tony teringatkan Zack.
Lelaki itu juga pendiam. Bercakap bila perlu saja. Dia perancang
yang hebat dalam kumpulan mereka.
Namun, dia lebih sukakan Zack berbanding Pot. Pot
terlalu banyak rahsia sehingga kadangkala dia sendiri tidak
dapat menelah apa niat sebenar lelaki itu menyertai kumpulan
ini.
“Biarkan. Aku tak nak sesiapa pun ganggu Zack selepas
ni,” jawab Black tanpa memandang ke arah anak buahnya.
“Kau serius nak lepaskan dia? Kau tak takut Zack bocorkan
rahsia kita?” soal Pot tidak puas hati. Hatinya terbakar
melihat begitu mudah Black melepaskan Zack. Kalau ikutkan
hatinya, dia tidak akan membiarkan Zack keluar dari situ
hidup-hidup.
Black hanya tersenyum sinis sambil berpaling memandang
Pot. “Aku lebih percayakan Zack daripada korang
semua. Lepas ni, aku tak nak dengar korang ganggu dia lagi.
Kalau ada yang langgar arahan aku, nahas dia aku kerjakan!”
ugutnya serius.
Masing-masing tunduk menikus. Pot yang tadi lantang
bersuara turut mendiamkan diri walaupun rasa tidak puas
hati masih menjalar dalam dirinya. Dia tahu Black tidak
main-main. Apa yang dikatakan itulah yang dilakukannya.
“BILA?” Black menyoal.
“Aku nak hujung minggu ni selesai,” balas suara garau
dari hujung talian.
“Tak ada masalah, tapi macam mana dengan bayaran?”
“Seperti biasa. Kau akan dapat separuh. Separuh lagi bila
tugas ni selesai,” jawab suara itu lagi.
Black menggaru dagunya. Dalam otaknya sudah terbayang
hasil lumayan yang akan diperolehnya.
“Anggap saja perkara ni dah selesai,” ujarnya seketika
kemudian, penuh dengan keangkuhan.
“Buat dengan betul. Aku tak nak timbul masalah nanti.”
Black ketawa mendengar nasihat itu. “Hei, ini akulah!
Kau tahu aku kerja macam mana?”
“Itu aku tak nak tahu. Yang pasti, tugas selesai.”
Klik. Talian telefon dimatikan. Black merenung gagang
yang berwarna hitam itu. Bibirnya mengukir senyuman
memikirkan mangsa mereka kali ini.
“Nasib kaulah!”

Kuala Kubu Bahru
“A PA hal kau? Bila keluar, terus lenyap.
Kau okey ke?” tanya Tony sambil
melabuhkan punggungnya di atas
kerusi. Tangannya laju mengeluarkan
sekotak rokok dan menarik sebatang.
Zack hanya memerhati. Dia menolak apabila Tony mempelawanya.
Dari dulu lagi dia memang tidak merokok dan dia
tidak mempunyai alasan untuk memulakannya sekarang.
Hampir enam tahun dia bergelumang dalam hidup yang
penuh dosa dan noda. Kalau hendak dikira, segala kekotoran
yang melekat dalam jiwanya belum tentu bersih walaupun
direndam dalam Clorox ataupun Dettol.
Sekarang, sudah tiba masanya dia kembali mencari harga
diri yang telah lama hilang. Dia perlu berubah. Berubah
untuk kembalikan dirinya yang suatu ketika dahulu putih
bersih. Dia harus kembali menjadi penawar ke atas racun
yang diciptanya sendiri. Dia memejamkan mata, cuba memadamkan ingatan tentang kehidupan lampaunya.
Ya ALLAH, tidak terkata banyaknya dosa yang telah dilakukan.
Masih adakah peluang untuknya memulakan hidup baru?
Kadangkala dia risau memikirkan perjalanan hidupnya.
“Kau tak sunyi?” Tony menukar soalannya apabila melihat
Zack seperti tenggelam dalam dunia sendiri. “Kalau aku,
mesti gila. Macam mana kau tahan, aku pun tak tahu.”
Zack tersenyum. “Aku dah biasa dengan semua ni. Hidup
seorang. Tak ada teman. Tak ada sesiapa. Hidup orang macam
kita ni, sunyi yang jadi teman sejati. Kalau tak, aku tak tahu
macam mana kita nak bertahan,” balas Zack seperti orang
falsafah lagaknya.
Tony diam memikirkan kata-kata temannya. Semenjak
Zack keluar, lelaki itu memang banyak berubah. Entah positif
atau negatif, dia masih belum dapat mentafsir.
Apa yang pasti, dia dapat melihat dengan jelas lelaki itu
menjadi lebih tenang. Mungkin apa sahaja yang menghantui
jiwanya sebelum ini berjaya diatasi. Baginya, berilah apa
sahaja masalah kepada Zack, lelaki itu pasti dapat selesaikannya.
Dalam diam, dia mengagumi lelaki bertubuh tinggi dan
sasa itu.
“Kami dapat ‘tugas’ baru!” Entah mengapa tiba-tiba itu
yang keluar dari bibir Tony. Tujuan kedatangannya berjumpa
Zack kali ini pun sememangnya bersangkut paut dengan
‘tugas’ yang bakal mereka lakukan. Dia sendiri terperanjat
dengan ‘tugas’ kali ini. Tidak dapat tidak, dia terpaksa
memberitahu Zack walaupun dia telah melanggar peraturan
kumpulan mereka.
Kata-kata Tony itu ternyata tidak menyenangkan hati
Zack. Lelaki itu dilihat membetulkan duduknya.
“Tony, aku tak nak tahu. Bila aku tinggalkan semua ni,
bermakna aku dah lepaskan semua. Aku tak minta kau faham,
tapi cukup kalau kau hormat keputusan yang aku buat,”
ucapnya lalu meneguk minuman. Panas kopi itu menjalar ke
seluruh tubuhnya. Cukup hangat dan menyegarkan.
“Hmm... aku tak pasti tentang tu,” jawab Tony dengan
senyuman misterinya.
“Maksud kau?

No comments:

Post a Comment