Tuesday, October 9, 2012

RBB 4


Kuala Lumpur, pada waktu yang sama  

“K AU jangan bimbang. Orang aku dah
mula bertindak hari ni. Tak lama
lagi kau akan dapat apa yang kau
nak. Jangan risau. Orang aku tak
pernah kecewakan aku. Mulai esok, kau boleh teruskan rancangan
kau. Kau boleh buat apa yang kau suka.” Black ketawa
berdekah-dekah.
Suara di hujung sana turut ketawa. Masing-masing mula
membayangkan apa habuan yang akan mereka dapat sekiranya
rancangan ini berjaya.
“Aku jamin, tak ada apa yang boleh menghalang rancangan
kita ni,” sambung Black lagi.
Manusia di hujung talian masih lagi terdiam memikirkan
kata-kata positif daripada Black. Dia masih memegang
gagang walaupun sudah lima minit perbualannya bersama
Black tamat.
Dia yakin dengan rancangan itu. Selama ini pun, Black
memang tidak pernah menghampakannya. Sememangnya,
dia tidak boleh berlengah lagi. Masa sudah terlalu suntuk.
Jika dia tidak memperoleh apa yang diperlukan dalam masa
yang terdekat ini, susahlah dia. Sudah pasti manusia-manusia
kejam itu tidak akan memberinya peluang lagi.
Kalau boleh, dia tidak mahu ini yang berlaku, tetapi dia
tidak mempunyai pilihan. Apa yang pasti, dia kena selamatkan
dirinya dulu. Ya! Kalau Black berjaya mengotakan apa
yang dijanjikan, hidupnya pasti lebih aman. Tidurnya akan
lebih lena.


Lebuh raya Seremban – Port Dickson, 10.05 pagi
“ZACK!”
“Siapa upah kau?”
Begitu perlahan dan dalam sekali suara itu. Serta-merta
perasaan gerun terbit di lubuk hati Chua. Dia kenal siapa
Zack. Dia tahu reputasi lelaki itu. Dia tahu apa yang boleh
dilakukannya. Dan sesungguhnya, dia tidak mahu menjadi
sasaran kemarahan lelaki itu.
“Aku tanya sekali lagi... siapa suruh kau buat kerja ni?”
Chua terbelalak melihat Baretta 92 yang berada di tangan
Zack. Dia dapat membayangkan otaknya yang bersepai jika
Zack menarik picunya.
“To... tolong aku, Zack. Ja... jangan bunuh aku,” rayu
Chua dengan getaran yang cukup hebat dalam jiwanya. Apa
hak Zack untuk masuk campur urusannya? Namun, untuk
bertanya sendiri kepada lelaki itu, dia tidak sanggup.
“Siapa?” Suara Zack semakin meninggi. Genggamannya
terhadap leher Chua juga bertambah kuat.
“Bla... Black!”
Zack terdiam mendengar nama itu. Dia cuba menahan
perasaan apabila melihat keengganan Chua membocorkan
rahsia siapa yang mengupah mereka. Dia sememangnya tahu
Black terlibat dalam rancangan itu. Dia tahu itu. Apa yang
diperlukan sekarang ialah nama orang yang mengupah Black
dan konco-konconya.
Selagi nama itu tidak diketahui, dia tidak akan dapat
selesaikan masalah ini. Dan dia tahu, Chua lebih rela mati
daripada membocorkan nama itu kepadanya. Kepala Zack
bekerja keras mencari jawapan. Yang menjadi tanda tanya,
kenapa Black tidak turun padang sendiri? Kenapa menyuruh
Chua yang memang sudah diketahui anggota paling lemah
dalam kumpulan Blackhawk?
Adakah Black berasakan yang tugas kali ini terlalu mudah
sehingga mengambil sikap lewa begini? Dan kalau hendak
difikirkan juga, Black masih tidak tahu dia turut sama melibatkan
diri dalam kes ini. Kalau Black tahu, Zack yakin,
lelaki itu tidak akan secuai ini. Sekali lagi pistol itu dilaraskan
ke otak Chua.
“Macam mana Black boleh hantar kau?” Satu pertanyaan
berbentuk penghinaan.
Dalam diam, Chua menahan perasaan. Dia tahu Zack
menghinanya. Daripada senyuman lelaki itu, dia dapat membaca.
Chua ingin bertindak. Dia ingin mematikan senyuman
yang masih berlegar di wajah Zack tetapi dia tidak berani. Ada
sesuatu pada wajah itu yang mematikan niatnya. Dia tidak
bodoh untuk sengaja mencari pasal dengan lelaki itu.
Sementara itu, Adni hanya memerhatikan sahaja pergelutan
dan soal jawab yang berlaku di hadapannya. Dia sepatutnya
lari menyelamatkan diri sendiri. Dia sepatutnya pergi
dari situ. Walaupun lelaki bernama Zack itu menyelamatkannya,
tetapi itu tidak bermakna dia sudah terlepas daripada
bahaya.
Keadaan berlaku begitu pantas. Dia sendiri tidak pasti apa
yang telah berlaku sebenarnya. Kenapa dia menjadi mangsa?
Untuk apa lelaki bertopeng itu mahu menculiknya? Menculik
atau mahu membunuh, dia sendiri tidak pasti.
Namun, salah apa yang telah dilakukan sehingga menyebabkan
mereka mahu berbuat onar terhadap dirinya? Dan
lelaki misteri itu, kenapa dia mahu menyelamatkannya?
Kenapa sanggup membahayakan diri? Siapa dia?
Adni tidak kenal lelaki itu. Dia tidak mahu tahu siapa
walaupun lelaki itu telah berbudi kepadanya. Apa yang dia
tahu, lelaki itu mungkin sama dengan lelaki bertopeng itu.
Mungkin mereka telah berpakat terlebih dahulu. Mungkin
ini salah satu taktik supaya dia menaruh kepercayaan kepada
lelaki yang bergelar Zack itu.
Perlahan-lahan Adni menjauhkan diri. Dia mahu pergi
dari situ sementara perhatian mereka tidak tertumpu padanya.
Kalau dia bijak seperti yang disangkakan, dia perlu pergi
dari situ. Sekarang!
Yakin bahawa tindakannya tidak menjadi perhatian,
Adni mengundur dengan langkah yang penuh berhati-hati.
Namun, dia tidak sedar mata helang Zack sedang memerhatikannya.
“Nak ke mana?” soal Zack mematikan langkah Adni.
Dengan langkah yang perlahan dan teratur, Zack menghampiri
Adni. Ternyata kehadirannya di situ membuatkan gadis
itu takut.
“Lepaskan saya. Biar saya pergi dari sini,” rayu Adni
meminta simpati. “Saya janji, saya tak beritahu polis,”
ujarnya lagi.
Zack menggeleng perlahan. Permintaan itu terlalu mustahil
untuk ditunaikan.
“Tolonglah... saya tak tahu apa-apa. Tolong lepaskan
saya...”
“Saya tak boleh...” Satu-satu ayat keluar dari bibir Zack.
Seolah-olah dia bercakap dalam bahasa asing.
“Ta... tak boleh? Tak boleh kenapa?” Nyaring suara Adni.
Rasa takutnya semakin menjulang. Sungguhpun dia berasa
takut yang amat sangat, dia yakin lelaki di hadapannya ini
tidak akan mencederakannya.
“Kenapa awak tak nak lepaskan saya? Apa yang saya dah
buat? Siapa awak? Siapa mereka ni? Kenapa mereka nak culik
saya? Itu pistol, kan? Kat tangan awak tu pistol, kan?” soalnya
dalam keadaan panik.
“Bertenang, Adni. Saya bukan nak cederakan awak.”
Adni yang sedang bergilir-gilir melihat Zack dengan penjahat
yang terdampar di tepi jalan raya tergamam mendengar
namanya disebut. Matanya kembali terarah kepada pemuda
misteri itu. Bagaimana lelaki itu tahu namanya?
“Percaya atau tidak, sayalah orang yang akan selamatkan
awak. Percayalah.” Untuk menunjukkan yang dia berkata
benar, dia menyimpan pistol di dalam jaket kulitnya.
Adni memandang tanpa berkelip. Degupan jantungnya
begitu pantas. Dalam diam, dia mencubit pahanya sendiri.
Kesakitan yang dialami menyatakan yang dia kini tidak bermimpi.
Untuk pertama kalinya, Adni melihat lelaki itu betulbetul.
Dia menangkap jenis pakaian yang dipakainya. Hitam.
Dadanya tiba-tiba berdebar. Matanya melilau pula mencari
sesuatu pada wajah itu. Mata! Matanya itu amat berlainan
sekali. Serta-merta dia teringatkan kata-kata Murni.
“Ada sesuatu yang aku bimbang bila aku renung mata
dia. Meremang bulu roma aku. Bukan sebab kehenseman dia
tapi... entahlah. Bila aku tengok muka dia, automatik otak
aku fikir bahaya. Dia muda lagi. Dalam lingkungan awal 30-
an tapi kalau kau tengok mata dia, macam kau lihat orang
yang dah hidup 100 tahun. Ada sesuatu pada matanya yang
membuatkan kau rasa... entahlah.”
Adni mengurut dadanya perlahan. Tahulah dia siapa
lelaki ini. Inilah lelaki yang mengekorinya dalam perjalanan
ke Bella Rosa minggu lalu. Lelaki ini jugalah mengirimkan
salam untuknya melalui Murni. Ya, lelaki inilah yang membuatkan
hidupnya dalam ketakutan.
“Awak... awak yang ekori saya minggu lepas, kan? Awak
yang datang ke Bella Rosa? Awaklah orangnya?” Tanpa sedar
Adni mengutarakan soalan itu dengan kuat. Dia menunggu
dengan cemas. Dadanya seakan mahu pecah menunggu jawapan
daripada lelaki itu.
Seperti minggu lepas, pandangan Adni tiba-tiba gelap
untuk kali kedua.


Kuala Kubu Bahru
Z ACK mengeluarkan beberapa ketul ayam dari
peti ais. Nasib baik dia baru membeli barang
keperluan dapurnya beberapa hari lepas. Buat
sementara waktu ini, dia terpaksa menyembunyikan
diri seketika.
Black dan konco-konconya tidak boleh tahu di mana dia
berada sekarang. Mereka kini pasti sedang giat memburunya.
Mahu tidak mahu, sekarang ini dia turut sama terlibat dalam
perhitungan yang dia sendiri tidak tahu apa puncanya.
Sekali dia campur tangan dalam urusan mereka, dia akan
menerima akibatnya. Black kini tentu mempunyai alasan
yang kukuh untuk membalas dendam. Pot dan Chua juga
pasti tidak akan melepaskan peluang ini.
Antara mereka saling tidak berhutang lagi. Dan kini, dia
terpaksa bergantung kepada diri sendiri untuk menyelamatkan
nyawanya. Nyawa Adni juga. Mengenangkan Adni, sertamerta
pandangannya terlayang di hadapan bilik.
Sengaja dia tidak menutup rapat pintu bilik itu. Takuttakut
Adni akan terjaga daripada lenanya yang panjang dan
panik menyedari dirinya keseorangan.
Senyuman kecil terbit dari bibirnya apabila mengenangkan
Adni. Semenjak pengsan beberapa jam yang lalu, Adni
masih belum sedarkan diri. Zack berasakan itu lebih baik
daripada dia terpaksa mengheret Adni tanpa rela.
Zack mengeluh perlahan. Dia tidak tahu bagaimana
hendak diterangkan semua ini kepada Adni. Kalaupun dia
berterus terang, dia yakin Adni tidak akan mempercayai
segala kata-katanya.
Sebentar tadi semasa dia menjenguk Adni, dia melihat
gadis itu masih tidur nyenyak, seolah-olah tiada apa yang
mengganggu dunianya. Seolah-olah kejadian cemas pagi tadi
tidak meninggalkan kesan kepada dirinya.
Atau, adakah Adni sengaja tidak mahu membiarkan ketakutan
menghantui dirinya? Adni sengaja menyembunyikan
segala apa yang dirasakan supaya lebih mudah dia menangani
kejadian yang tidak masuk akal ini. Zack faham. Benar-benar
faham. Kadang-kadang dia juga berbuat demikian.
Di saat dia rasa keseorangan dan ketakutan seperti ini, dia
lebih suka membiarkan perasaan itu berlalu begitu sahaja.
Dia berpura-pura bahawa keadaan seperti itu tidak memberi
apa-apa kesan atau tekanan kepada dirinya.
Hasilnya, dia masih mampu meneruskan hidup ini
sehingga sekarang. Jika itulah yang Adni cuba lakukan, dia
boleh menerimanya. Malah, untuk wanita bernama Adni
Zuhayra itu, dia sanggup melakukan apa sahaja. Dibunuh
pun dia sanggup.
Adni terjaga daripada pengsannya. Dalam keadaan mamai,
dia memerhatikan keadaan sekeliling. Ruang itu begitu
sederhana hiasannya. Hanya terdapat sebuah katil bersaiz
king dan sebuah meja kecil di sebelahnya. Matanya jatuh pula
pada sebuah cermin panjang yang terletak di sudut bilik.
Adni terperanjat melihat keadaan dirinya yang tidak
terurus. Serta-merta tangannya membetulkan rambut agar
kelihatan kemas sedikit. Dia bangun dan mengemaskan
katil. Tiba-tiba pergerakannya terhenti. Bagaimana dia boleh
memikirkan tentang penampilannya saat ini? Ada kejadian
yang penting telah berlaku. Punggungnya kembali dihenyakkan
di atas katil dan matanya meliar memandang sekitar
bilik.
Sungguh berbeza sekali keadaan bilik ini jika hendak
dibandingkan dengan bilik di apartmennya. Ruang ini terlalu
ringkas dan seolah-olah digunakan sesekali sahaja. Siapakah
yang mempunyai rumah yang tidak bernyawa ini? Adni
kembali teringat peristiwa pagi tadi. Kenapa dia merasakan
kejadian itu seperti telah berlaku berhari-hari lamanya? Dia
cuba mengingati apa yang berlaku.
Siapa dua orang lelaki bertopeng itu? Kenapa me reka
mahu menangkapnya? Benarkah mereka hanya mahu
menangkapnya sahaja? Tetapi yang nyata, dia tidak tahu apa
yang telah dia lakukan sehingga mahu diperlakukan begitu.
Apa yang berlaku? Dan... lelaki bermata sedih itu? Siapa dia?
Bagaikan tahu dirinya disebut, Zack me ngetuk dan terus
membuka pintu walaupun tidak menerima pelawaan untuk
masuk. Adni spontan melarikan diri ke sudut bilik. Ketakutan
kembali menyelubungi dirinya.
Dia masih tidak tahu siapa lelaki ini. Dia tidak tahu apakah
niat sebenar lelaki ini membawanya ke mari. Dia sendiri
tidak tahu di mana dia berada. Kenapa dia ada di sini? Dia
memandang lelaki itu masuk dengan perlahan dan sedikit
pun tidak mengeluarkan sepatah kata.
Matanya liar mengawasi segala pergerakan lelaki bertubuh
tinggi itu. Cuba bersedia sebaik mungkin untuk mempertahankan
diri sekiranya terjadi apa-apa yang tidak diduga.
Walaupun lelaki ini yang telah menyelamatkan nyawanya, itu
tidak bermakna lelaki ini tidak mendatangkan bahaya pada
dirinya.
Zack diam memerhatikan Adni. Dia tahu, Adni masih
meragui niatnya. Gadis itu jelas kelihatan gentar dengan
kehadirannya di situ. Dia tidak mahu Adni takut padanya.
Itulah yang cuba dielakkan.
“Siapa awak? Macam mana saya ada kat sini? Kenapa saya
ada di sini? Tempat apa ni?” Laju sahaja pertanyaan yang
keluar dari bibir Adni. Tanpa sedar tangannya menggenggam
erat gumpalan kain selimut yang menyelimuti tubuhnya
sebentar tadi.
Dalam diam, dia memerhatikan pemuda di hadapannya.
Jaket kulit berwarna hitam yang selalu dipakai tidak lagi
tersarung di tubuhnya. Sehelai T-shirt hitam dan jean biru
lusuh yang menjadi ganti. Jambang yang menghiasi wajahnya
pagi tadi sudah dicukur kemas. Tetapi masih tetap tidak
dapat menghilangkan aura bahaya dalam dirinya.
Adni tersentak tiba-tiba. Dalam keadaannya begini, siapa
sangka dialah lelaki yang bertumbuk dengan dua orang lelaki
yang cuba menculiknya tadi. Siapa sangka lelaki yang membawa
aura bahaya di sekelilingnya boleh menjadi sebegini
tampan.
Tetapi yang paling menarik hatinya ialah sepasang mata
lelaki itu yang dalam. Ada sesuatu pada mata itu yang menarik
perhatian. Bukan seperti apa yang dikatakan oleh
Murni. Bukan! Ada sesuatu yang lain tetapi dia tidak tahu
apakah itu.
Yang pasti, dia boleh lemas dalam pandangan itu selamalamanya.
Dia rasa bagaikan pernah melihat mata itu sebelum
ini. Seperti mata… Adni menggigit bibirnya kuat. Biar
kesakitan itu menyedarkannya daripada mimpi. Ini bukan
mimpi. Ini realiti.
 “Dah puas tengok?” sindir Zack dengan senyuman sinis.
Adni dapat merasakan pipinya merah dengan soalan itu.
Mampus aku… Dia tahu aku sedang memerhatikannya. Mana
aku hendak sorokkan muka?
“Minum?” Zack menunjukkan gelas yang sedang dipegangnya.
Adni tidak mengendahkan kata-kata. Dia mahu tahu
perkara sebenar. Sehingga kini, lelaki itu seolah-olah tidak
berniat mahu memberitahunya apa-apa.
Dia memberanikan diri bergerak ke hujung katil. Entah
mengapa, nalurinya menyatakan lelaki ini tidak akan mengapa-
apakannya di sebalik perwatakannya yang nampak bahaya.
Kalau lelaki itu mahu berbuat sesuatu, sudah tentu awalawal
lagi dia bertindak.
“Sampai bila awak nak kurung saya kat sini? Kenapa
awak tak nak jawab semua soalan saya? Awak ingat, dalam
keadaan macam ni, saya lalu minum ke?” Adni menyoal.
Mula berlagak berani apabila menyedari lelaki itu tidak akan
membahayakan nyawanya seperti yang diduga.
“Makan dulu. Saya tunggu kat luar,” balas Zack tanpa
memberi jawapan yang ditunggu-tunggu oleh Adni. Tanpa
menunggu sama ada Adni mengekorinya, dia terus keluar
membawa sekali segelas air yang disediakan untuk Adni tadi.
Adni memandang dengan rasa tidak percaya. Rasa
marahnya menjelma tiba-tiba. Kalau tidak kerana kudrat
mereka berbeza, pasti dia akan mengunakan kekerasan untuk
mendapatkan jawapan. Pasti dia tidak akan membiarkan
lelaki itu berlalu pergi sebelum menerangkan apa sebenarnya
yang berlaku.
Oleh kerana tidak mempunyai pilihan, Adni terpaksa
mengekori langkah Zack. Buat masa ini, dia tidak boleh
berdegil selain menurut sahaja cakap lelaki itu. Kalau Zack
mahu dia makan, dia akan makan. Yang pasti selepas ini, dia akan menagih jawapan.
Dia tiba di ruang makan. Meja itu penuh dengan beberapa
hidangan. Kebanyakan makanan yang tersedia adalah makanan
dalam tin yang telah dipanaskan. Dia mencebik. Yang
nampak menyelerakan hanya beberapa ketul ayam goreng.
Di balik niatnya yang tidak akan menjamah apa-apa selagi
Zack tidak berterus terang, dia terliur melihat hidangan yang
tersedia di atas meja. Tanpa disuruh, dia melabuhkan punggung
di kerusi.
Zack memerhati dalam diam Adni menyuap nasinya.
Sedari tadi, wanita itu tidak bercakap walau sepatah pun.
Dan dia tidak pula cuba untuk menceriakan suasana antara
mereka. Lagipun, situasi mereka sekarang membataskan apa
jua perbualan yang ingin dituturkan. Yang pasti, keadaan
mereka begitu janggal.
Dia tahu, Adni masih menanti jawapan daripadanya dan
dia sengaja cuba berlengah-lengah. Entah cerita bagaimana
hendak disampaikan kepada Adni. Hendak berterus terang,
dia takut wanita itu tidak dapat menerima kenyataan.
Lagipun, dia sendiri tidak tahu apa yang hendak diceritakan.
Dia belum mendapat cerita sebenarnya lagi. Hendak
berbohong, dia tidak sanggup. Itulah satu prinsip yang tidak
pernah dibuang sejak dahulu lagi. Terdesak bagaimanapun
keadaannya, dia tidak akan berbohong. Kebenaran walaupun
pahit, untuk dia berbohong, tidak sama sekali.


Kuala Lumpur, sarang Blackhawk BODOH! Kerja mudah pun kau tak boleh
buat,” sergah Black pada Chua. Darahnya
mendidih mendengar perkhabaran yang
dibawa oleh orang suruhannya sebentar
tadi. Ketika menerima panggilan daripada Chua, dia sudah
menjangkakan berita gembira. Berita yang membawa khabar
perempuan itu ada di dalam genggaman mereka.
Dia mahu ‘tugas’ itu diselesaikan dengan cemerlang.
Tetapi, lain pula ceritanya. Mujurlah Chua jauh dari pandangan
mata. Kalau tidak, pasti nahas Chua dikerjakan. Dia
tidak mempunyai masa lagi untuk menyudahkan tugas itu.
Masa yang diperuntukkan semakin tiba ke penghujung.
Dia tidak mahu mendengar sebarang alasan yang tidak munasabah
lagi. Mereka tidak boleh melakukan apa-apa kesilapan.
“Aku dah dapat perempuan tu, tapi benda lain timbul
pulak,” ujar Chua mahu membela diri. Tidak sabar dia mahu
memberitahu apa yang telah berlaku. Namun, sejak Black
menyambut panggilan lima minit yang lalu, hanya sumpah
seranah yang diterimanya.
“Masalah apa? Aku tak nak dengar alasan dan masalah
kau orang. Aku nak tahu, bila kau nak selesaikan perkara ni?
Ingat Chua, kalau tak dapat perempuan tu, nahas kau aku
kerjakan,” ugut Black keras.
Di saat itu wajahnya kelihatan amat menakutkan sekali.
Umpama harimau ganas yang kelaparan dan mencari mangsa.
Urat-urat lehernya timbul membuatkan parut panjang yang
menghiasi pipi kirinya kelihatan begitu ketara sekali.
Pisau Rambo yang berada di tangan digunakan untuk
menggaru dagunya. Jika Chua memerhatikan perlakuan
Black ketika ini, pasti dia tidak akan mengambil mudah
ugutan Black itu.
“Aku tahu. Aku tak akan balik selagi tak dapat perempuan
tu. Dengar cakap aku dulu... Zack...”
“Apa?”
“Zack dah rosakkan rancangan kita. Dia selamatkan
budak perempuan tu. Kalau tak kerana dia, rancangan kita
dah berjaya. Kau patut salahkan Zack. Macam mana dia
tahu?” soal Chua dengan penuh rasa ingin tahu.
“Apa?!” jerit Black terkejut yang amat sangat. Kerusi yang
sedang didudukinya terpelanting apabila dia berdiri secara
tiba-tiba. Jantungnya berdegup kencang. Entah mengapa
satu perasaan aneh muncul dalam hatinya.
“Zack…” Black menyebut nama itu seperti berbisik.
Hampir sahaja tidak kedengaran.
“Dengar sini, Chua. Aku tak kisah macam mana kau nak
buat. Tapi apa yang aku tahu, kau mesti cari Zack dan perempuan
tu sampai dapat. Jangan telefon aku selagi kau tak dapat
mereka. Faham?”
Tanpa menunggu jawapan, dia menghempaskan gagang
telefon. Rasa aneh masih terus berlegar-legar dalam hatinya.
Kau nak keluar, aku izinkan. Tapi, kalau kau cuba masuk
campur urusan aku... Zack! Kau memang sengaja cari geruh
dengan aku!


Kuala Kubu Bahru
MALAM itu, Zack bersiap sedia untuk menemui Tony.
Sebelum melarikan diri bersama Adni, dia sudah merancang
jadual pertemuannya dengan Tony terlebih dahulu. Dia tahu,
dia boleh berharap pada teman yang seorang itu. Tony juga
telah berjanji untuk mendapatkan maklumat untuknya.
Dia sedar, selain Tony, tiada saluran lain yang dapat
menghubungkan dia dengan dunia gelap mereka. Zack masih
tenggelam dengan strateginya sebelum dia sedar Adni tengah
bercakap dengannya.
Dia terpinga-pinga sebentar sebelum kembali menumpukan
perhatian kepada wanita yang sudah menunjukkan wajah
tidak senang apabila soalannya tidak berjawab.
“Saya dah habis makan. Bila awak nak mula cerita?” ulang
Adni lagi.
Zack mengeluh sambil memeluk tubuh. Dia dapat melihat
kesungguhan pada wajah bersih itu. Penuh tekad dan
keazaman. Dia tahu, dia tidak boleh berdalih lagi.
“Apa awak nak tahu?” soal Zack dengan nada malas.
“Buat permulaan, siapa awak ni? Apa nama awak?” Adni
yang berasakan dia telah diberi ruang mencari jawapan, tidak
melepaskan peluang yang ada.
“Zack.” Pendek sahaja jawapan yang diberikan.
“Zack? Saya pun tahu nama awak, Zack. Lelaki tadi pun
panggil awak Zack. Tapi, takkan Zack saja? Apa jenis nama
macam tu? Nama penuh awak apa? Zakri, Zakaria atau apa?”
Bertubi-tubi soalan itu keluar daripada mulut comel Adni.
Zack sedaya upaya menahan senyum.

No comments:

Post a Comment