Tuesday, October 9, 2012

RBB 3



Bella Rosa, Port Dickson
BAYANGAN Bella Rosa dari jauh melegakan hatinya sedikit.
Setelah beberapa hari tidak menjengah, dia membuat keputusan
untuk ke sana hari ini. Dia menguntumkan senyuman
kepada pengawal yang bertugas di pondok pengawal.
Dari situ, dia membelok ke kiri untuk memarkir kereta
di tempat parkir yang sememangnya dikhaskan untuk kakitangan
Bella Rosa. Dia hanya perlu berjalan sejauh lima
meter untuk sampai di pejabatnya.
Dari jauh, dia dapat melihat kelibat Murni yang sedang
gelisah menunggu kedatangannya. Dalam sedih, senyuman
di bibir semakin lebar. Lupa seketika pada masalah yang
menghantui dirinya. Melihat gaya, pasti ada cerita panas yang
dibawa oleh Murni. Setiausahanya yang seorang itu memang
banyak mulut.
Murni memang suka bergosip berkenaan apa pun, tetapi itu
tidak mendatangkan masalah besar kepadanya. Sungguhpun
begitu, setiap tugas yang diberikan akan dilakukan oleh
Murni dengan cemerlang. Lagipun wanita yang berusia awal
30-an itu sudah dianggap seperti kakaknya sendiri.
Belum sempat dia menolak pintu kaca, Murni terlebih
dahulu meluru membukakan pintu untuknya. Tangannya
pantas menyambut fail-fail yang menimbun di tangan Adni.
“Kenapa ni, Murni? Kelam-kabut saja aku tengok,” tegurnya
bersahaja. Yang sebenarnya, dia tidak perlu
susah mahu bertanya. Wanita itu akan bercerita dengan rela.
Kadang-kadang ceritanya begitu terperinci sehingga Adni
mengelarnya PI - Private Investigator.
“Sepagi aku dengan Khairy cuba telefon kau. Kenapa tak
angkat? Eh... kau dah tahu ke belum?” soal Murni tanpa henti
sambil menyelongkar beg tangan Adni. Dia mengeluh keras
apabila melihat telefon bimbit itu dimatikan.
Adni pantas merampas telefon bimbitnya. Telefonnya
kehabisan bateri. Hendak dicaj, pengecasnya tertinggal di
pejabat.
“Kau dah tengok berita, Adni? Kau tak dengar berita lagi
ke?” soal Murni sambil mengekori Adni ke dalam bilik.
Adni tidak segera menjawab. Sebaliknya dengan cermat
dia meletakkan beg di lantai. Barang-barang yang dibawa
bersama disusun kemas di atas meja.
Setelah berpuas hati dengan semuanya barulah dia
menumpukan perhatian kepada Murni yang seakan tidak
berpuas hati kerana pertanyaannya dibiarkan tanpa jawapan.
“Kenapa? Berita apa yang penting sangat tu? Nancy ada
telefon tak?” soal Adni bersahaja.
“Ada, pagi tadi. Aku dah setkan temu janji kau dengan dia
minggu depan. Kenapa kau tak pernah cerita pasal dia kat
aku? Hei, soalan aku tadi kau tak jawab!” jerit Murni apabila
menyedari Adni seperti sengaja mahu mengelak soalannya.
Tanpa menunggu jawapan Adni, Murni segera mencapai
alat kawalan jauh dan menekan punatnya. Tidak lama selepas
itu, televisyen yang berada di sudut bilik menyala.
“Kau tengok sendiri. Masa ni ada berita terkini. Kalau kau
bernasib baik, mesti dia orang siarkan cerita yang sama.”
“Berita apa? Apa yang penting sangat ni?” keluh Adni
dengan nada yang amat malas. Dalam masa yang sama, dia
mengecas telefonnya. Beberapa saat kemudian, mesej bertubi-
tubi masuk. Kebanyakannya daripada Khairy, Murni dan
ibu Hadiff. Adni terbangun dari kerusinya. Kenapa mereka
cuba menghubunginya? Dia mengarahkan pandangan kepada
Murni, namun wanita itu hanya menunjukkan ke arah kaca
TV dan menyuruhnya diam.
Tiba-tiba corong telinganya terdengar satu nama yang
amat dikenali disebut dan perkataan seterusnya adalah kemalangan.
Adni pangku kepala. Berita terkini itu menarik
perhatiannya. Selepas 10 minit berita itu berakhir, Adni
masih kaku di kerusinya. Jemarinya yang sedang menekannekan
butang untuk membaca mesej terhenti. Seluruh
tubuhnya menjadi lemah.
“Adni?” Murni memanggil perlahan. “Sebab tu aku tanya,
kau dah dengar berita belum. Seharian aku dengan Khairy
cuba hubungi kau. Aku yakin kau mesti terkejut dengan berita
ni. Adni? Kau okey ke?” Sekali lagi pertanyaan itu diluahkan
apabila melihat Adni masih tidak memberi respon.
Adni meraup wajahnya. Dia segera bangun dari duduk.
“Batalkan apa juga temu janji aku untuk hari ni dan esok.
Aku nak pergi Taiping. Apa-apa hal kau ambil mesej ya?”
pesannya sambil mencapai beg tangan.
“Adni, tunggu!” laung Murni apabila melihat Adni begitu
laju meninggalkan dirinya. Apabila sampai di kereta Hyundai
Matrix Adni, dia sudah pun termengah-mengah.
“Nanti, aku ada benda nak cakap.” Murni menahan.
“Boleh tunggu kemudian tak? Aku kena pergi sekarang
ni.” Adni sudah membuka pintu kereta. Saat ini, dia benarbenar
ingin pergi dengan segera. Apa pun yang ingin dinyatakan
oleh Murni, itu boleh diterangkan kemudian.
“Semalam ada orang cari kau. Dia kirim salam,” jelas
Murni sambil mengesat peluh di dahi. Tubuhnya yang rendah
dan kecil tetap tidak terlawan dengan langkah Adni yang
panjang.
Adni menahan perasaan marahnya mendengar kata-kata

Murni. Kenapa hal sekecil itu mahu diberitahu padanya?
Bukankah ada masalah yang lebih besar lagi?
“Jangan marah aku, Adni. Aku hanya sampaikan pesan
dia. Lagipun, aku tak sangka kau kawan dengan orang macam
tu. Selama ni, aku tak tahu pun kau ada kawan macam tu.”
Adni mengerutkan dahinya. Dua kali dia mendengar ayat
yang sama ‘kawan macam tu’. Kawan yang macam mana?
“Siapa?”
Murni menggeleng. “Aku dah tanya, tapi dia tak jawab
pun. Dia minta sampaikan salam pada kau. Dia kata, dia akan
jumpa kau nanti. Macam mana ni, Adni? Kenapa kau boleh
kawan dengan orang macam tu?”
Tahap kesabaran Adni tercabar lagi. Wajah Murni yang
berkulit kuning langsat itu direnung dengan tajam, menunjukkan
bahawa dia benar-benar serius.
“Boleh tak kau cakap terus terang aje? Soalan belit-belit
ni aku tak faham. Lagipun, kau tahu kan aku ada hal ni? Kita
cakap lain kali, okey?”
Murni menahan lagi. Kali ini wajahnya juga serius. Mahu
tidak mahu, Adni terpaksa akur.
“Aku rasa kau kena berhati-hati, Adni. Aku tengok lelaki yang
cari kau tu semacam aje muka dia. Masa dia datang semalam
pun, aku nyaris-nyaris nak panggil polis,” terang Murni bersungguh-
sungguh, siap dengan mimik mukanya sekali.
“Kenapa? Siapa yang cari aku? Perompak? Perogol?”
Murni mengangkat bahu. Sememangnya dia mempunyai
kesukaran untuk mengambarkan apa yang dilihat pada lelaki
itu.
“Lelaki tu hensem. Cukup hensem. Tak kalah kalau nak
dibandingkan dengan Khairy kau tu.” Murni bercerita sambil
terpejam matanya mahu menggambarkan wajah yang dilihatnya
semalam.
“Tapi?” Adni pula menyampuk. Tidak tahan melihat
reaksi Murni sebegitu.
“Ada sesuatu yang buat aku bimbang bila aku renung
mata dia. Meremang bulu roma aku. Bukan sebab kehenseman
dia, tapi... entahlah. Bila aku tengok muka dia,
automatik otak aku fikir, BAHAYA. Dia muda lagi. Dalam
lingkungan hujung 20-an ataupun awal 30-an, tapi kalau kau
tengok mata dia... macam kau lihat orang yang dah hidup
100 tahun. Kau faham tak apa yang aku cakap ni? Aku rasa
kawan kau tu tengah sedih, Adni.” Cepat saja Murni membuat
kesimpulan.
Adni ketawa. “Mana satu betul ni? Sekejap kau tengok
bahaya. Sekejap sedih pulak. Kau ni memang entah apaapalah,
Murni.”
“Yalah... kalau kau tengok sendiri dengan mata kepala
kau, kau mesti setuju dengan aku. Dahlah datang dengan
pakaian serba hitam. Motor Cagiva dia pun warna hitam.
Hei... misteri sungguh. Siapalah nama dia, kan? Nanti kalau
kau jumpa... eh... Adni, kenapa ni? Adni? Kau jangan buat aku
takut... Adni?”
Adni terjelepok ke tanah kerana begitu terkejut mendengar
perkataaan Cagiva itu. Adakah...
“Cagiva?” bisiknya dengan suara yang amat perlahan.
Hatinya begitu berdebar-debar menunggu jawapan daripada
Murni.
“Ha’ah, Cagiva hitam. Berkilat.”
“Cagiva?” Sekali lagi Adni mengulangi perkataan yang
sama.


Hospital Besar Taiping
A DNI mendongak. Terik sinaran mentari
menyakitkan matanya. Dia segera menunduk
kembali. Kaca mata hitam yang sudah
dilipat, dibuka semula. Kalau dipandang
lama-lama, mahu sahaja kepalanya berpinar menerima sinaran
yang berkilau dan membahang itu.
Bumi dirasakan begitu panas dan kering-kontang. Sudah
hampir sebulan hujan tidak turun. Sana sini tumbuhan menjadi
kering. Layu menyembah bumi. Pohon-pohon besar juga
seakan mengaku kalah dengan keadaan yang berlaku.
Dari jauh sudah terlihat debu-debu yang berterbangan
setiap kali ada orang atau kenderaan yang lalu-lalang. Adni
segera menutup mulut dan hidung, menghalang daripada
tersedut debu yang semakin galak berterbangan dibawa
angin. Kalau beginilah selalu, nampaknya dia bakal mendapat
penyakit batuk kering tidak lama lagi.
Bangunan yang dicat dengan warna putih dan kelabu itu
ditatap dengan perasaan bercampur aduk. Tanpa berlengah
lagi, dia memulakan langkah. Sejambak bunga turut tergenggam
kemas dalam tangannya. Dia menjeling jam di pergelangan
tangan. Sudah pukul 12.30 tengah hari. Waktu melawat
sudah bermula.
Mujurlah dia tiba awal. Kalau tidak, alamat berebutlah
tempat parkir dengan semua orang yang turut sama datang
melawat kaum keluarga, mahupun sahabat handai di hospital
ini. Langkah Adni semakin laju. Walaupun jaraknya agak dekat,
tetapi tubuhnya berpeluh dek bahang yang terik memancar.
Pintu lif terbuka di tingkat enam dan dia melangkah keluar.
Debaran di dada semakin memuncak. Dia tidak tahu
bagaimana hendak berhadapan dengan Hadiff nanti. Sejak
dua hari Hadiff dimasukkan ke hospital, baru kini dia punya
kekuatan untuk melawat sahabatnya itu.
Dia tidak tahu apa yang perlu dikatakan untuk menenangkan
Hadiff. Lelaki itu baru sahaja kematian isteri. Sudahlah
menjadi orang yang disyaki, kini terpaksa berhadapan dengan
kemungkinan akan lumpuh sepanjang hayat. Adni memejamkan
matanya. Dugaan terhadap Hadiff dirasakan terlalu berat.
Bolehkah lelaki itu menghadapi semua ini?
Adni takut. Sepanjang dua hari ini, Hadiff tidak mahu
berjumpa sesiapapun. Walaupun ahli keluarga sendiri, Hadiff
tetap menolak. Adni faham kenapa Hadiff mengambil keputusan
demikian.
Hadiff mungkin mahu mengubat lukanya sendirian.
Mungkin juga dia tidak mahu menerima simpati daripada
orang lain dengan keadaannya begitu. Adni kenal benar
dengan Hadiff. Semangatnya kuat. Walau apa pun, dia yakin
Hadiff akan kembali pulih seperti sediakala.
Apabila tiba di bilik 15A, langkah Adni terhenti. Dengan
perlahan, dia menarik nafas. Cuba bersedia dengan segala
kemungkinan.

 “Kenapa tak masuk?” tegur satu suara.
Adni lantas berpaling. Jururawat berpakaian putih itu
tersenyum memandangnya. Dia segera membuka pintu.
Dengan doa yang mengiringi setiap langkahnya, Adni
melangkah masuk dan menutup pintu perlahan-lahan. Mujur
hanya Hadiff seorang sahaja di bilik itu. Katil di sebelah
masih kemas tidak berpenghuni. Adni menarik nafas lega.
Lebih baik begitu.
“Saya tak mahu jumpa sesiapa, nurse!
Adni mendengar Hadiff bersuara. Mungkin lelaki itu menyangka
dia adalah jururawat yang bertugas.
Dengan nekad, Adni merapati Hadiff yang masih lagi
terbaring. Matanya berkeliaran memerhatikan keadaan kaki
Hadiff yang masih lagi dipenuhi dengan besi. Sekali pandang,
macam arial TV sahaja dengan besi berceracak di sana sini.
Keluhan yang didengari menandakan Hadiff masih dalam
kesakitan.
Adni memanggil perlahan, namun cukup membuatkan
Hadiff tersentak.
“Keluar, Adni! Aku tak mahu jumpa sesiapa,” bentak
Hadiff. Dia sendiri tidak sedar bila masa Adni berada di situ.
Semenjak diberitahu bahawa kemungkinan dia tidak boleh
berjalan lagi menyebabkan dia kemurungan. Dia mahu mati.
Untuk apa dia hidup kalau tidak boleh berjalan lagi? Dia tidak
rela menjadi beban kepada sesiapa.
“Hadiff, kau tak boleh macam ni. Kau tak boleh halau
aku pergi. Aku kawan kau. Aku akan sentiasa ada di sisi kau.
Percayalah...” Adni semakin merapati apabila melihat Hadiff
memejam rapat matanya. Dia tergamam melihat air jernih
mengalir laju di pipi Hadiff.
Adni tahu, dia boleh bercakap apa sahaja. Dia boleh
memujuk atau berjanji sekalipun. Tetapi kesannya, hanya
Hadiff seorang yang akan tanggung. Hadiff yang akan berasa
seksanya. Sungguhpun begitu, dia tidak boleh membiarkan
Hadiff menghadapi kesukaran ini sendirian.
“Jangan macam ni, Hadiff. Kau tak boleh terus asingkan
diri macam ni. Mak ayah kau, keluarga kau, semuanya risau
dan bimbang. Kau tak boleh terus halang mereka datang berjumpa
kau. Aku pun risau kalau kau terus macam ni.” Adni
memegang lengan Hadiff yang penuh dengan bekas cucukan.
Terasa begitu pucat dan sejuk sekali lengan itu.
Adni menahan air matanya daripada menitis. Hadiff tidak
boleh lihat dia menangis. Hadiff tidak perlu melihat kesedihannya.
Sesungguhnya, dia juga merasai semua ini. Dia juga
kehilangan teman baiknya. Seperti Hadiff, dia juga berasa
kehilangan.
“Kau kena tabah. Kena kuatkan semangat. Kalau... kalau
Lynn ada pun, dia tentu tak nak tengok kau macam ni. Aku...”
Kata-katanya terhenti apabila Hadiff memandang tajam ke
arahnya, seperti marah menyebut nama arwah Elena.
Adni resah. Bagaimana dia hendak membuatkan Hadiff
mengubah fikirannya? Bagaimana cara untuk memujuknya?
Dia semakin bungkam apabila Hadiff tiba-tiba sahaja menangis
teresak-esak seperti anak kecil.
Di atas katil, Hadiff cuba mengerekot menaikkan paha
merapati dada, mahu menyembunyikan tangisannya namun
tindakan itu sia-sia kerana sebelah pahanya kaku tidak
bergerak. Memandangkan tindakannya itu mustahil, dia
putus asa dan meletakkan lengan menutupi dahinya.
“Aku rindukan dia, Adni. Aku benar-benar rindukan dia.
Macam mana polis sanggup tuduh aku bunuh Lynn? Jentik
dia pun aku tak sanggup, inikan...”
Bersama sendu tangis, Adni cuba memahami apa yang
dituturkan Hadiff. Dia turut sama mengalirkan air mata.
Simpati mengenangkan nasib yang menimpa teman baiknya
itu.

Ya ALLAH, KAU tabahkan hatinya. Biarlah dia menerima
semua dugaan ini dengan tenang. Berikan sedikit kekuatan-
MU padanya agar dapat dia menanggung semua ini. Ya
ALLAH, bantulah Hadiff. Kalau benar dia tidak bersalah,
bawalah dia keluar daripada segala masalah ini.
Adni menutup pintu bilik dengan perlahan dan berhatihati.
Dia tidak mahu lena Hadiff terganggu. Setelah hampir
satu jam dia memujuk, barulah Hadiff menjadi semakin
tenang. Dia sudah boleh diajak berbual. Walaupun Adni tahu,
Hadiff sebenarnya lebih suka ditinggalkan sendirian, namun
dia sengaja pura-pura tidak faham. Hadiff perlu tahu bahawa
ada orang lain yang mengambil berat akan dirinya.
“ADNI!”
Adni menoleh apabila mendengar seseorang memanggil
namanya. Kelihatan ibu bapa Hadiff bersama adik perempuannya
sedang menuju ke arahnya. Dia pantas menyapu
sisa-sia air mata yang mungkin jelas kelihatan. Dia tidak
mahu membuatkan keluarga Hadiff lebih susah hati lagi.
Adni menyambut mereka dengan senyuman. Tangan ibu
Hadiff dicapai dan dikucup lembut.
“Dah jumpa Hadiff?” soal bapa Hadiff.
Adni mengangguk, lantas mengajak mereka ke kafe. Dia
akan menceritakan mengapa Hadiff mengambil tindakan
sedemikian. Dia tidak mahu ibu bapa Hadiff salah sangka
dengan keputusan anak lelaki mereka itu.
Ketika ini Hadiff sedang tidur. Lebih elok kalau tidak
diganggu. Lagipun, waktu melawat sudah hampir habis.
Mereka akan mempunyai peluang untuk melawat pada waktu
petang nanti. Adni percaya, selepas ini Hadiff tidak akan
menghalang sesiapa untuk berjumpa dengannya lagi.


Pangsapuri Seri Impian
P AGI itu, Adni bangun dengan kepala yang
berdenyut-denyut. Semalaman dia tidak dapat
melelapkan mata. Sementara menunggu air
yang dimasak mendidih, dia kembali teringatkan
peristiwa yang berlaku kebelakangan ini. Rasa gemuruhnya
masih belum hilang.
Malam tadi, dia tidak dapat melelapkan mata walau sekelumit
pun. Perasaan sedang diperhatikan masih kuat berlegar
dalam hatinya. Sudah beberapa tahun dia tinggal di apartmen
itu dan semalam merupakan pertama kali dirasakan bahawa
rumah itu sudah tidak selamat.
Sudah tiga malam dia tidak dapat tidur lena. Bangun
tidurnya selalu dalam keadaan resah dan kepenatan. Mengapa?
Apa yang membuatkan dia berasa keanehan dan keresahan
seperti ini?
Bunyi cerek air mendidih mengejutkan Adni daripada
lamunan. Dia bangun mencapai sebiji mug untuk mem-
bancuh kopi. Sambil minum, dia memikirkan lagi perkara
semalam. Kematian Elena, siasatan Hadiff, pemuda berjaket
kulit hitam dan perasaannya yang tidak tenteram kebelakangan
ini. Adakah ia satu kebetulan?
Teringatkan Hadiff, jiwanya merusuh kembali. Sekarang
ini, Hadiff berada di hospital kerana terlibat dengan kemalangan.
Keadaannya agak parah juga sehingga dua hari berada di
Unit Rawatan Rapi Hospital Besar Taiping. Alangkah malangnya
Hadiff kerana niat bercuti untuk bersama orang tuanya
di Taiping berakhir begini.
Apa yang lebih membuatkan dia bertambah geram ialah
sikap polis yang seolah-olah tidak bersimpati dengan nasib
yang menimpa Hadiff. Walaupun terlantar begitu, pihak polis
masih mahu mengawalnya.
Adakah mereka fikir Hadiff akan melarikan diri dalam
keadaan kakinya yang patah itu? Kalau benar pun tuduhan
mereka, tidak bolehkah mereka menunggu sehingga Hadiff
benar-benar sembuh? Walaupun perasaan geramnya masih
tidak berkurangan, dia mulai faham kenapa polis mengesyaki
Hadiff terlibat dalam pembunuhan Elena.
Selain belum mampu membuktikan di mana dia berada
semasa hari kejadian, Hadiff turut menerima tamparan hebat
apabila pihak insurans membongkarkan bahawa beberapa
bulan sebelum ini, Elena ada membeli insuran nyawa yang
bernilai sejuta ringgit dan Hadiff merupakan pewarisnya.
Nah... sudah tentu sahaja pihak polis boleh mengesyaki
Hadiff. Dia sendiri apabila mendengar berita itu, terselit perasaan
ragu-ragu. Dia turut sama hampir termakan dengan
tuduhan itu. Tetapi apabila mengenangkan orang itu adalah
Hadiff, dia terpaksa terima. Dia masih menyakini kejujuran
lelaki itu.
Jika Hadiff menafikan bahawa dia terlibat dalam kejadian
itu, maka itulah yang akan diterima. Dia tidak akan
nya lagi. Biarlah seribu atau sejuta orang yang menentang,
tapi dia akan teguh di belakang Hadiff. Sesungguhnya, dia
tidak sanggup kehilangan seorang lagi teman akrab.
Semasa tengah menikmati keenakan minumannya, dia
menyedari telefonnya berkelip-kelip. Adni pantas menyambut
alat komunikasi yang berada di atas kabinet dapurnya.
Apabila melihat nama di skrin telefon, senyuman Adni semakin
melebar.

Stesen Minyak, R&R Seremban
ZACK diam memerhatikan insan itu mengisi petrol ke keretanya.
Dia tidak mahu mendekati kerana takut orang itu
mengenali wajahnya. Walaupun dia yakin orang itu tidak
mengingatinya, tetapi dia tidak sanggup mengambil risiko.
Dia perlu pastikan keadaan benar-benar selamat sebelum dia
berhadapan dengan wanita itu.
Subjek yang diperhatikan dilihat memasuki kedai serbaneka.
Mahu membeli coklat Cadbury kegemarannya mungkin.
Ataupun mengeluarkan wang di mesin ATM yang disediakan
di dalam kedai. Oleh kerana tidak mahu kehadirannya di
situ menimbulkan syak wasangka, lantas dia berpura-pura
mengisi angin tayar sambil matanya bagaikan helang memerhatikan
mangsa.
Setelah beberapa hari berlalu tanpa apa-apa yang berlaku,
dia mula berasa hairan. Kenapa Black masih belum bertindak?
Pasti ada yang tidak kena. Kalau tidak, wanita itu pasti
tidak akan sebebas dan seriang ini.
Perlahan-lahan Zack menggeleng. Wanita itu bakal menerima
kejutan terbesar dalam hidup andainya dia mengetahui apa
yang telah dirancangkan untuknya. Tiba-tiba dia menyedari
sesuatu. Tubuhnya serta-merta tegak dan bersedia. Orang yang
sedang dinanti mula menampakkan wajahnya.

Zack tersenyum sedikit apabila melihat plastik yang berisi
penuh dengan coklat Cadbury terayun perlahan di tangannya.
Sesetengah perkara, masih tidak berubah nampaknya.
Kalau begini, tugasnya pasti menjadi semakin mudah.
Sedang dia mahu menghidupkan enjin, mata helangnya
ternampak sesuatu. Kerutan amat jelas pada dahinya.
Dia kenal siapa itu. Dia tahu apa yang mereka mahu. Zack
menggenggam kuat penumbuknya. Nampaknya, mereka
sudah mula mahu bertindak!

Lebuh raya Seremban – Port Dickson, 9.45 pagi
ADNI menyumpah di dalam hati. Dalam kelam-kabut pasti
ada sahaja benda yang menghalangnya. Dalam keadaan dia
mahu cepat sampai, pasti ada sahaja perkara yang mahu
melengahkannya.
Dia mengerling jam Cartier yang tersarung indah di pergelangan
tangan. Masih ada 15 minit lagi untuk dia tiba di
Bella Rosa. Murni juga baru sebentar tadi menelefon mengingatkannya
tentang temu janji dengan Encik Adham, seorang
usahawan yang berminat untuk melabur di Bella Rosa.
Baginya, peluang yang amat baik itu seharusnya tidak
patut dilepaskan begitu sahaja. Dan kini, kenapa masa seperti
mencemburuinya? Kenapa keadaan selalu tidak menyebelahinya?
Entah apa kesilapan yang pernah dilakukan sehingga
menerima dugaan seperti ini.
Bersama keluhan, dia membuka pintu kereta. Apa yang
tidak kena? Seingatnya, baru dua minggu lepas keretanya
diservis. Dia tahu keadaan keretanya. Memang sudah empat
tahun dia memakai kereta yang sama, namun sehingga kini
kereta itu tidak pernah memberi masalah kepadanya.
Adni gerun mengenangkan bagaimana enjinnya mati
tiba-tiba semasa dia sedang memecut laju. Nasib baiklah di belakangnya tiada kenderaan yang mengekori. Kalau tidak,
nahas jawabnya. Adni memejamkan mata. Dia cuba membuang
imej yang terbayang di fikirannya. Apa akan terjadi
kalau itu yang berlaku? Ya ALLAH, syukurlah aku masih
selamat.
Dia menjenguk di celah-celah enjin yang masih panas.
Keadaan enjin dan wayar yang berselirat itu semakin
memeningkan kepalanya. Dia tidak tahu apa sebabnya.
Dia bukanlah pakar kereta seperti Khairy. Dia hanya tahu
memandu sahaja. Selebihnya, dia memang tidak pernah
ambil peduli.
Adni menghempaskan hud hadapan kereta itu. Hendak
tak hendak, dia terpaksa memanggil Khairy. Khairy mesti
tahu apa yang perlu dilakukan. Tapi, macam mana dengan
perjumpaannya dengan Encik Adham?
Hendak ditundakah perjumpaan itu? Nanti apa pula kata
Encik Adham? Sesunguhnya, tanggapan pertama itu penting.
Kalau awal-awal lagi sudah memberi masalah, bagaimana
mereka hendak bekerjasama dengan baik nanti?
Tidak boleh jadi ni, aku mesti pergi sekarang. Peluang
yang hanya datang sekali ini tidak patut dilepaskan begitu
sahaja. Adni membuat keputusan. Dia akan pergi ke Bella
Rosa dengan teksi ataupun menyuruh Murni menjemputnya
sahaja.
Dalam perjalanan nanti, dia akan menghubungi Khairy
untuk menguruskan keretanya. Khairy tahu di mana kunci
penduanya disimpan. Adni tersenyum dengan rancangannya.
Terasa bangga dengan dirinya sendiri. Walaupun dalam
keadaan cemas, dia masih mampu berfikir dengan rasional.
Ketika itu, dia tidak menyedari bahawa dari jauh ada yang
sedang memerhatikannya dengan teliti. Dia terlalu menumpukan
perhatian untuk menghubungi Murni supaya datang
menjemputnya sehingga tidak menyedari bahawa kereta
berwarna hitam yang membawa dua lelaki semakin menghampiri.
Malah, dia memang tidak tahu bahawa dia sedang
diekori semenjak tadi. Semenjak dia keluar dari rumah dan
semenjak seminggu yang lalu.
Kereta Nissan X-trail yang sudah pasti menggunakan
nombor pendaftaran palsu semakin mendekati mangsanya.
Setelah seminggu memerhatikan rutin Adni Zuhayra pergi
dan balik dari kerja, mereka berasakan tiada peluang yang
lebih baik lagi selain hari ini.
Sejak menerima tugas, mereka berdua memulakan
operasi. Selama 24 jam mereka memerhatikan gerak-geri
gadis itu. Apa yang mereka tahu, memerhatikan gadis itu
memang amat menyenangkan. Gadis yang tinggal bersendirian
itu memang mudah untuk dijadikan mangsa.
Adni memangku wajah apabila mendengar tayar kereta
berdecit di sebelah tepinya. Dia tergamam melihat dua lelaki
bertopeng sedang merenungnya tajam. Salah seorang daripada
mereka dengan pantas membuka pintu kereta dan mahu
menangkapnya.
Otaknya serta-merta memberitahu itu bahaya. Tanpa
membuang masa, dia berlari sekuat hati. Dari jauh, dia dapat
mendengar salah seorang daripada mereka menyumpah.
Sudah pasti mereka tidak menyangka dia dapat bertindak
sepantas itu. Laungan itu langsung tidak memperlahankan
langkahnya.
Adni terus berlari dan berlari untuk menyelamatkan diri.
Tetapi apalah kudratnya sebagai perempuan. Tetap tidak
dapat menandingi kekuatan lelaki. Adni menjerit sekuat hatinya
apabila berasakan lengannya dicengkam kuat. Tangan
dan kakinya bertindak. Dia tidak nampak apa yang berlaku.
Air mata merembes laju membasahi pipi, tetapi itu tidak
menghalangnya untuk mempertahankan diri. Biarpun dia
perempuan, dia akan mati secara bermaruah. Dia akan terusmempertahankan diri sehingga ke titisan darah terakhir.
Lelaki bertopeng yang bernama Chua itu menyumpah
bertubi-tubi. Silap mereka kerana memandang rendah terhadap
mangsa mereka yang seorang ini. Nampak saja lembut
tetapi kaki tangannya amat pantas. Dia mengangkat penumbuk
mahu membuatkan Adni senyap. Kalau dibiarkan, tidak
mustahil ada yang akan mendengar jeritan itu.
Namun, belum sempat dia mengayun penumbuk, tangan
kirinya dikilas dari belakang. Chua menjerit kesakitan.
Serta-merta Adni terlepas daripada pegangannya. Chua cuba
melawan balik, tetapi lawannya kali ini lebih kuat dan lebih
pantas. Berpinar-pinar kepalanya menerima tumbukan yang
bertalu-talu. Akhirnya, apabila tubuhnya lembik, barulah dia
dilepaskan.
Dalam kesakitan, dia menjeling temannya yang turut
menerima nasib yang sama. Masing-masing terbaring sambil
mengerang kesakitan. Siapakah yang menyerang mereka
secara tiba-tiba? Bila masa dia datang? Kenapa mereka tidak
menyedari kehadirannya? Siapa lelaki ini? Bagaimana dia tahu
rancangan mereka? Dan yang paling penting, apa hubungannya
dengan Adni?
Chua mengerang kesakitan apabila terasa kolar bajunya
ditarik. Separuh tubuhnya juga terangkat sedikit. Dalam kesakitan,
matanya bertemu dengan mata penyerang. Matanya
membulat ketakutan.

No comments:

Post a Comment