Tuesday, October 9, 2012

RBB 2

Tony tidak menjawab, sebaliknya mencampakkan sekeping
sampul besar ke atas meja. Zack memerhatikan sampul surat
itu. Begitu lama dan tajam renungannya seolah-olah dapat
menembusi sampul itu dan membaca isinya. Walaupun tanpa
membuka, dia tahu apa isi kandungan sampul itu.
Dia tahu, Tony mahu dia melihatnya. Keinginannya
juga begitu kuat. Pasti ada sesuatu yang amat penting di
dalamnya. Kalau tidak, masakan Tony sanggup menyeludup
keluar maklumat itu. Walaupun rasa ingin tahunya begitu
memuncak, tetapi dia juga telah berjanji dengan diri sendiri.
Dia tidak akan terlibat lagi.
“Tengok dulu,” pinta Tony seperti memujuk apabila melihat
keraguan wajah Zack.
“Beritahu aku saja.” Zack masih berdegil. Dia bangun
berpura-pura seperti mahu meregangkan anggota badan.
Keengganannya mencetuskan tawa di bibir Tony.
“Tak. Kalau kau nak tahu, kau kena bukak sendiri. Kau
yang kena buat keputusan.”
“Tony, kau jangan nak uji kesabaran aku,” keluh Zack
sedaya upaya menahan marahnya.
“Bukaklah, Zack. Percayalah… Kau akan berterima kasih
pada aku nanti.”
Zack diam sambil berfikir seketika. Apa yang ada di dalam
sampul itu menyebabkan Tony beria-ia mahu dia melihatnya?
Walaupun permintaan Tony itu kedengaran begitu mudah,
tetapi dia terasa berat untuk melakukannya.
Entah mengapa, nalurinya tiba-tiba terasa kurang enak.
Hatinya juga berat menyatakan yang seluruh hidupnya akan
datang, bergantung pada isi kandungan sampul itu.
Oleh kerana itulah, dia mengambil sampul yang masih
terdampar di atas meja. Rasa ingin tahu mengatasi segalagalanya.
Dengan perasaan yang berdebar-debar, dia mengeluarkan
isi kandungan itu satu per satu. Tepat sepertimana
telahannya.
Sekeping gambar berukuran 4R jatuh di pangkuannya.
Walaupun foto itu terbalik, namun dia seakan tahu siapa
insan di foto itu. Matanya bulat terarah ke wajah Tony.
“Ya ALLAH!” Tiba-tiba kalimah itu tercetus dari bibirnya.
“Tidak!” Matanya mencerlang ke wajah Tony. Mahu lelaki
itu turut sama menafikan tanggapannya. Tetapi, lelaki Cina
berketurunan nyonya Melaka itu hanya diam memerhatikan
reaksinya. Pandangan Tony begitu bersimpati.
Zack tidak mahukan simpati Tony. Dia tidak perlukan
semua itu. Apa yang dia mahu adalah penafian atas segala
tanggapannya ketika ini. Takdir, kenapa begitu mudah
mahu mempermainkannya? Kenapa masa silam masih mahu
mengejarnya? Ya ALLAH, jangan biarkan aku kembali kepada
kehidupan hitam itu.
“Bukan dia, Tony. Biarkan aku silap. Ya ALLAH, biar aku
silap, tapi jangan kata itu dia!” nafi Zack keras.
“Zack...”
Belum sempat Tony menghabiskan kata, lehernya dicekak
dengan kuat dan tubuhnya dihentak ke dinding. Buat seketika
dadanya terasa begitu sesak. Dia begitu terkejut dengan
tindakan Zack sehingga dia tidak sempat mahu mempertahankan
dirinya.
Tony meronta-ronta minta dilepaskan, tetapi tenaga
Zack ternyata begitu kuat. Dia sempat melihat wajah Zack.
Lelaki itu seperti orang hilang akal. Dalam kepayahan, dia
cuba menerangkan perkara sebenar, namun Zack tidak mahu
mengendahkannya.
Oleh kerana tidak mempunyai pilihan, Tony menendang
sekuat tenaga apabila dia mempunyai peluang untuk
melepaskan diri. Zack yang tidak menduga tindakan itu terdorong
ke belakang lalu terlanggar bucu meja menyebabkan
dia terduduk menahan sakit. Tony yang berjaya melepaskan
diri tercungap-cungap menarik nafas. Sungguhpun begitu,
matanya terus mengawasi Zack yang masih lagi menahan
kesakitan. Dia tidak mahu Zack menyerangnya semula.
“Dengar dulu cakap aku,” kata Tony cemas. Dia perlu meyakinkan
Zack. Dia tidak mahu Zack memusuhinya nanti.
“Kenapa?” Zack merintih. Suaranya kedengaran begitu
dalam dan perlahan.
Tony yang terpaksa memasang telinga terperanjat melihat
wajah kawannya yang diselubungi kesedihan itu.
“Aku tak tahu itu dia. Sumpah Zack, aku tak tahu.
Black yang terima arahan tu. Aku tak boleh nak kata apa.
Keputusan dah dibuat. Aku tahu betapa pentingnya dia pada
kau, sebab tu aku jumpa kau. Kalau Black tahu ni, mati aku!”
terang Tony apabila melihat Zack kembali tenang.
“Aku nak jumpa Black!” tegas Zack. Dia tahu, hanya Tony
yang boleh membawanya ke sana.
Tony pantas menggeleng.
“Mustahil, Zack. Sekali kau dah keluar, kau tak akan
diterima lagi. Kau pun tahu, kan?” bantah Tony seakan tidak
percaya dengan permintaan Zack.
“Aku bukan nak masuk balik. Aku nak Black tolak tawaran
tu. Yang penting, aku nak tahu siapa yang upah Black.”
Gelengan Tony laju. “Itu lagi mustahil. Kau tahu kan
kerja orang macam kita ni macam mana? Sekali kita terima
‘tugas’, kita kena selesaikan walau apa pun yang berlaku. Kita
takkan buat sekerat jalan. Semua ni tentang reputasi, Zack.
Kau patutnya lebih tahu.” Tony kembali duduk. Tangannya
masih memegang leher yang sakit.
 “Lagipun, jangan harap Black akan ikut cakap kau. Dia
mesti nak jaga reputasi dia. Kalau tak, siapa nak upah kami
lagi? Lagipun, separuh bayaran kami dah dapat.” Tony menerangkan
situasi yang sebenar.
Zack terdiam. Sememangnya, dia tahu dan faham apa
yang dikatakan oleh Tony. Bukankah dia juga pernah menjadi
sebahagian daripada mereka dahulu?
Dulu, dia ibarat master mind dalam setiap ‘tugas’. Kumpulannya
tahu, malah kumpulan lain juga tahu dia sanggup
melakukan apa saja untuk menyelesaikan tugas yang diberi.
Mendengar nama ‘Zack’ sahaja cukup membuatkan orang
yang mengenalinya menikus. Dia juga tahu, sekali ‘tugas’
diterima, memang tiada jalan untuk berpatah balik. Walaupun
keberatan, mereka tetap menyelesaikan ‘tugas’ yang diberi.
“Aku kena cuba jugak. Aku tak boleh biarkan mereka
buat macam ni,” balas Zack dengan kedegilan yang sukar
dilenturkan.
“Aku tak benarkan. Kau bukan bahayakan nyawa kau saja,
nyawa aku juga. Kau tahu, Black takkan dengar cakap kau.
Hal kau keluar dulu pun masih buat dia bengang sampai sekarang.
Keadaan dah tak sama masa kau ada dulu. Kau jangan
cari pasal dengan dia.” Tony cuba menghalang niat Zack.
Dia tahu, kalau dia tidak berjaya menghalang Zack mengubah
keputusannya, tidak mustahil Zack akan bersemuka
dengan Black. Sekiranya itu berlaku, dia takut salah seorang
daripada mereka tidak akan bernyawa lagi.
“Siapa? Siapa punya kerja ni?” Zack bertanya lagi walaupun
dia tahu itu semua sia-sia. Walaupun Tony tahu siapa
yang mengupah mereka, lelaki itu tidak akan membocorkan
rahsia. Itu juga salah satu prosedur kerja mereka.
“Siapa, Tony? Aku perlu tahu siapa orang tu. Adakah
orang yang aku kenal atau orang baru?” Tanpa rasa putus asa
dia merisik mencari jawapan.
 “Tidak. Aku tak nak ambil risiko. Teruk aku nanti. Terlalu
bahaya. Aku boleh mati sebab perkara ni. Kau jangan mainmain
dengan dia orang, Zack.”
“Habis tu, kenapa kau bawak gambar tu ke sini? Apa
tujuan kau suruh aku tengok isi sampul tu kalau kau tak nak
aku buat sesuatu? Kau tahu kan Tony, aku takkan diamkan
diri dalam perkara ni? Sekarang, apa tujuan sebenar kau?”
Nada Zack sudah bertukar.
Tony serba salah. Dia mengharapkan Zack berbuat sesuatu
bila dia melihat foto itu tetapi dia juga takut nyawanya
terancam. Kalaulah dia tidak pernah tengok wajah yang sama
di dalam dompet Zack, dia tidak akan berdiri di situ ketika ini.
Mungkin juga dia yang selesaikan kerja itu tanpa mengetahui
betapa pentingnya manusia itu dalam hidup Zack.
“Tapi, kau nak buat apa?” soal Tony tanpa menjawab pertanyaan
Zack.
Zack mengambil kembali foto yang terdampar di lantai
ketika mereka bertumbuk tadi. Gambar itu direnung dengan
penuh perasaan. Saat itu, dia sudah nekad. Walau apa pun
yang akan berlaku, dia akan menghalang rancangan mereka.
“Aku akan selamatkan dia. Aku kena selamatkan dia.”


Secret Recipe, One Utama
W AJAH mencuka di hadapannya ditatap
dengan perasaan sebal. Setelah lebih
setengah jam memujuk, namun pemuda
itu tetap menunjukkan muncung belasnya.
Adni Zuhayra mengeluh perlahan.
Dia sudah kehabisan idea bagaimana hendak meredakan
perasaan Khairy. Sejak kebelakangan ini, perangai lelaki itu
semakin menjadi-jadi. Merajuk tidak tentu hala. Hal yang
kecil sekalipun adakalanya diperbesarkan. Umur semakin
menghampiri 30-an, namun perangainya tidak ubah seperti
anak kecil. Baran mengalahkan apa.
Bukan tidak diterangkan kenapa dia lewat, malah sudah
berbuih-buih mulut namun lelaki itu seperti tidak mahu
memahami. Tetap mahu membuatnya diserang rasa bersalah.
Kadangkala dia sendiri tertanya-tanya, kenapa dia membiarkan
Khairy mendera perasaannya begini?
Walaupun tunang, apa hak Khairy untuk mengongkong-
nya? Selagi belum bergelar isteri, dia berhak melakukan apa
sahaja, asalkan tidak melampaui batas. Dia sudah terlalu lelah
dan teramat penat untuk menjaga perasaan Khairy sedangkan
jiwanya sendiri tidak terjaga.
“Janganlah macam ni, Khairy. I bukannya sengaja datang
lewat. Lagipun I dah jelaskan sebabnya, kan?” Adni melembutkan
suara. Biarlah dia beralah lagi. Kalau tidak, sampai
bila-bila pun perkara ini tidak akan selesai. Dia memang
hairan dengan sikap tunangnya ini.
Khairy menjeling tajam. Terbakar dengan sikap Adni yang
seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan.
“You tahu tak, you buat I tercongok macam orang bodoh
di restoran ni!” sergah Khairy lantang sehingga menyebabkan
beberapa orang yang duduk berdekatan mereka menoleh.
Adni terasa kulit mukanya semakin tebal, sementara kesabarannya
semakin menipis.
“Okey, I tahu I salah. Tapi, semua ni bukannya kehendak
I. Kami ada masalah di Bella Rosa. Nak tak nak, I terpaksa
tunggu. You jangan lupa Khairy, Bella Rosa tulah hasil titik
peluh I selama ni. Takkan I nak biarkan saja kalau I tahu ada
masalah?” Adni diam mengambil nafas.
Lagipun, untuk berulang-alik dari Port Dickson ke Kuala
Lumpur ini pastinya memakan masa. Takkan itupun Khairy
susah hendak faham? Lelaki itu hanya mendengus tidak puas
hati. Adni yang melihat mengeluh untuk kesekian kalinya.
“Majikan apa I ni, kalau I buat tak kisah? Percayalah, bukan
niat I nak buat you tertunggu-tunggu. You tahu kan kerja I
macam mana?” pujuknya lagi. Masih mahu berdiplomasi, walaupun
Khairy seperti tidak mahu menerima penjelasannya.
Waktu hujung minggu begini, resort miliknya itu memang
padat dengan kehadiran pelancong, sama ada dari dalam
ataupun luar negeri. Bulan lepas mereka ada menerima tempahan
dari sebuah jabatan kerajaan yang memilih Bella Rosa
sebagai tempat menjalankan kursus induksi.
Selama sebulan itu jugalah mereka membuat persediaan
sementara menanti kedatangan kakitangan jabatan itu.
Mereka juga perlu merancang aktiviti riadah untuk kakitangan
terbabit selama dua minggu. Namun, dua hari sebelum
masa yang ditetapkan, pihak jabatan itu menelefon
untuk mempercepatkan tarikh kedatangan mereka.
Ketika itu, setiap bilik yang terdapat di Bella Rosa sudah
penuh. Timbul salah faham apabila pihak di sana menyatakan
mereka telah menghantar faks mengenai perubahan itu,
namun Bella Rosa tidak menerima apa-apa surat ataupun
memo.
Adni tidak menyalahkan sesiapa. Kalau itu yang dikata,
dia terima. Dia juga tidak menyalahkan kakitangannya. Dia
tahu keupayaan mereka, namun sebagai manusia, kesilapan
memang tetap tidak dapat dielak.
Dia harus menggunakan akal untuk menyelesaikan
masalah itu, supaya kedua belah pihak tidak rugi. Dia harus
menggunakan pendekatan win-win situation dan akhirnya,
mereka berjaya juga menempatkan kakitangan yang seramai
56 orang itu.
“Yalah. I tahu betapa sayangnya you dengan Bella Rosa,
malah melebihi sayang you pada I, tunang you sendiri!” bentak
Khairy tidak ubah seperti budak tiga tahun tidak dapat
makan aiskrim.
“You cakap apa ni?” Adni mulai bosan. Cakap hal yang
sebenar pun tidak mahu terima. Dipujuk pun tidak jalan. Apa
yang perlu dia buat lagi?
“You, kalau pasal Bella Rosa, sanggup buat apa saja, kan?
24 jam pun you sanggup tunggu di sana. Tapi bila I perlukan
you, ada saja alasan you. You ingat I tak sedar?” tengking
Khairy sehingga menyebabkan Adni tersentak.
Tanpa menunggu lebih lama, Adni mencapai tasnya. Dia malas mahu menunggu lebih lama di situ. Bertekak
dengan Khairy memang tidak akan habis. Asyik hendak
menang saja. Sebagai tunang, Khairy sepatutnya lebih memahami
dirinya berbanding orang lain. Dia seharusnya diberi
galakan dan dorongan, bukannya dengan tekanan begini.
Jeritan Khairy memanggil namanya tidak dipedulikan.
Hatinya panas ketika itu. Silaplah Khairy, kalau dia fikir
hanya dia seorang saja yang boleh marah. Dia pun ada perasaan
juga, getusnya tidak puas hati.
Air mata yang mengalir di pipi disapu dengan kasar. Dia
rasa tidak berbaloi mengalirkan air mata untuk lelaki yang
tidak reti bahasa itu. Kenapa ini yang berlaku dalam hubungan
mereka? Kalau dulu segalanya indah belaka, namun
kini di mana silapnya? Sudah kurangkah kasih sayang antara
mereka?
Adni lantas menolak sangkaan itu. Dia masih sayangkan
Khairy, walaupun sejak akhir-akhir ini pertengkaran sering
tercetus antara mereka. Sudah hampir enam tahun mereka
bertunang dan perkenalan mereka sendiri sudah menjangkau
berbelas tahun. Semua teman dan keluarga terdekat merasa
hairan dengan tempoh pertunangan yang agak lama itu.
Kalau dulu usianya yang muda boleh dijadikan alasan, namun
Adni yakin dia tidak boleh menggunakan alasan itu lagi.
Sebenarnya dia masih belum yakin dengan keputusan
dibuat. Dia masih ragu-ragu adakah Khairy pasangan sejiwanya.
Seperti kata temannya, kalau mereka sudah berkahwin,
sudah banyak agaknya zuriat mereka. Tetapi jauh di sudut
hati, dia tahu kenapa dia mengambil keputusan sedemikian.
Ada sesuatu yang menghalangnya. Perkara yang tidak pernah
diketahui oleh sesiapa.
SETELAH sejam dia memandu, dia mula menyedari sesuatu.
Dia memandang cermin keretanya sekali lagi. Sepatutnya
dia perasan, sebuah motor berjenama Cagiva begitu rapat
mengekorinya. Adni memperlahankan kereta untuk membolehkan
penunggang berpakaian serba hitam itu memotong,
namun setelah beberapa kali diberi peluang, lelaki
berjaket hitam itu masih rapat mengekori.
Dia kurang jelas dengan wajah lelaki yang sedang
mengekorinya kerana lelaki itu memakai topi keledar yang
menutup seluruh wajahnya. Adni mula berasa tidak sedap
hati. Dia menunggu beberapa ketika dan penunggang itu
masih setia mengekorinya.
Dia memecut laju keretanya dan penunggang itu turut
berbuat demikian. Dengan jari yang terketar-ketar, dia mencapai
telefon dan mendail nombor 999. Seorang operator
polis wanita menjawab panggilannya.
“999. Boleh saya bantu?”
“Helo... ada orang ekori saya...” Adni menjawab dalam
kelam-kabut. Dia benar-benar dalam ketakutan. Nafasnya
yang tersekat-sekat menyukarkan polis wanita itu memahami
kata-katanya.
“Cik, bertenang. Cuba cakap dengan perlahan. Saya tak
dengar percakapan cik dengan jelas,” pinta suara itu lagi.
Adni memandang untuk melihat penunggang itu lagi dan
apa yang dilihat cukup membuatnya tersentap. Mana? Tiada
sesiapa yang berada di belakangnya. Penunggang itu menghilangkan
diri secara tiba-tiba.
Mana penunggang itu pergi? Suara ditelefon masih lagi
memanggil-manggilnya. Adni pantas menjawab. Walaupun
lega kerana dia tidak lagi diekori, namun perasaannya tetap
berdebar-debar.
“Maaf, saya tersilap. Saya sangka ada orang yang mengekori
saya.” Dia mematikan telefon dan memecut laju keretanya.
Biarlah. Disaman sepuluh kali pun dia rela, asalkan dia
selamat tiba di Bella Rosa.

Kuala Kubu Bahru
ZACK segera meletakkan kembali gagang telefon apabila
mendengar suara itu menjawab panggilannya. Zack
menutup matanya sebentar. Cuba menenangkan jiwa yang
sedang bergelora. Jantungnya berdegup pantas seperti baru
lepas berlari marathon. Suara itu masih kedengaran sama.
Walaupun telah 10 tahun, suara itu masih mampu meluluhkan
jiwanya.
Zack menarik nafas dalam-dalam. Dia fikirkan, dia sudah
bersedia untuk berhadapan dengan masa silamnya. Dia ingat,
dia mampu untuk berdepan dengan insan itu. Tetapi, dia
tidak setabah yang disangka. Dia masih tidak mampu walaupun
untuk menyampaikan sepatah ayat.
10 tahun. Dia pergi tanpa khabar dan berita. Pergi tanpa
menitipkan sebarang pesan. Perginya melukakan hati banyak
insan. Argh... Mungkin dirinya telah dilupakan! Mungkin
dirinya sudah tidak diterima lagi.
Tapi, bagaimana dia hendak teruskan hidup ini tanpa
berdepan dengan mereka? Bagaimana dia mahu bertaubat
sedangkan dosanya banyak berkisar kepada mereka ini?
Bagaimana dia dapat tidur lena sedangkan dia tahu ada insan
yang menunggu kepulangannya?
Zack membuka matanya kembali. Walaupun dirasakan
amat payah, namun dia tidak boleh berlengah lagi. Dia tidak
mempunyai banyak masa. Suka ataupun duka, dia terpaksa
menerima kenyataan. Sesungguhnya, apa yang pernah berlaku
dulu adalah daripada tindakannya yang tidak bertanggungjawab.
Tanpa sedar, dia mengangkat gagang dan mendail nombor
yang sama. Nombor yang sentiasa berada dalam ingatan
walaupun 10 tahun dia tidak pernah mendail nombor itu.
Suara yang sama menjawab panggilannya. Tangannya
ditekan ke dinding. Seakan cuba mencari kekuatan untuk
terus menghadapi kenyataan itu. Suara tadi masih terus
menyapa, sedangkan lidahnya seakan kelu untuk berkatakata.
“Abang ni.” Akhirnya, Zack memuntahkan kata-kata.
Walaupun pendek, namun cukup untuk membuatkan penerima
panggilannya tergamam seketika. Dia mengulangi
kembali kata-katanya. Mahu menyakinkan bahawa dia tidak
berbohong.
Di seberang sana sayup-sayup kedengaran tangisan yang
tidak tertahan. Barangkali tidak menyangka akan menerima
panggilan ini. Dia memegang dadanya yang seakan mahu
pecah. Sesungguhnya, dia tidak bermaksud mahu memberi
kesedihan kepada insan itu. Bukan itu maksudnya.
“Maafkan abang!”



Kondominium Seri Impian
ELENA MATI DIBUNUH!
A DNI terduduk apabila menerima panggilan
daripada Hadiff. Tubuhnya menggeletar
apabila Hadiff bercerita bagaimana
isterinya boleh menemui ajal.
Ah… sukar dia mahu percaya kalau tidak mendengar daripada
mulut Hadiff sendiri. Baru semalam dia berbual dengan
Elena. Mereka telah berjanji untuk keluar bersama hujung
minggu ini. Berkelah di Port Dickson. Di resort miliknya.
Elena dengan Hadiff, manakala dia bersama Khairy.
Dia yang merancang perkelahan itu sebagai satu pujukan
kepada Khairy. Dia akui, kebelakangan ini dia terlalu sibuk
dan mengabaikan Khairy. Fikirnya, dengan rancangan ini,
Khairy akan termakan pujukan. Khairy tidak akan marah
lagi. Tetapi, apa yang berlaku cukup memeranjatkannya.
Pemergian Elena memang tidak disangka-sangka.
Dia segera membuka TV apabila melihat waktu sudah
tepat pukul 8.00 malam. Dia perlu tahu perkembangan lanjut
mengenai kes Elena ini. Khairy baru menelefonnya sebentar
tadi. Mereka akan ke hospital bersama-sama. Lagipun Hadiff
tidak sepatutnya dibiarkan sendirian menghadapi dugaan dan
kesedihan ini.

Sementara menanti Khairy, fikirannya melayang kepada
Elena dan Hadiff. Semasa di Universiti Kebangsaan Malaysia,
mereka merupakan teman yang akrab sekali. Ke mana sahaja,
mereka pasti akan bertiga. Tanpa sedar pergaulan yang rapat
itu menimbulkan bibit-bibit cinta antara Elena dan Hadiff.
Sebagai sahabat, dia hanya merestuinya dan dia sendiri turut
bahagia dengan kegembiraan mereka.
Persahabatan diteruskan lagi sehingga mereka meninggalkan
menara gading sekali gus memasuki alam pekerjaan.
Dia jugalah yang menjadi pengapit apabila mereka melangsungkan
perkahwinan.
Dan kini, hanya tinggal dia dan Hadiff. Ya ALLAH, KAU
berikanlah kekuatan kepada Hadiff untuk menghadapi dugaan
ini. KAU tabahkanlah hatinya. KAU cucurilah rahmat-MU ke
atas roh Elena. Masukkanlah dia dalam kelompok umat-MU
yang beriman. Permudahkan dia, Ya ALLAH. Doanya tidak
putus-putus.
Siapakah yang begitu kejam membunuh Elena? Apakah
salahnya? Kalau sekalipun mahu merompak rumahnya,
masakan perlu membunuh? Adni berterusan mendengar
laporan yang dibaca oleh Norazlina Redzuan itu. Pihak polis
sendiri masih menyiasat kejadian ini.
Kes pembunuhan Elena dianggap kes berprofil tinggi
kerana bapa Elena merupakan salah seorang pegawai tertinggi
kerajaan. Adni terjerit kecil apabila loceng apartmennya
berbunyi. Dia segera mengurut dada, lantas menuju ke
muka pintu.

Sebelum membuka, dia mengintai dahulu di lubang
pintu. Dia tahu, pasti Khairy yang datang untuk membawanya
melawat jenazah arwah Elena. Tapi, sangkaannya silap
apabila wajah sugul insan di hadapannya ditatap. Hadiff?
Terdetik rasa hairan dalam hatinya. Kenapa dia berada di
sini? Bukankah mereka baru sahaja bercakap di telefon?

Pekarangan Kondominium Seri Impian
“YA ALLAH Khairy, kenapa mereka buat macam tu? Kenapa
polis tahan Hadiff? Apa alasan mereka tuduh Hadiff terlibat
dalam kes pembunuhan Elena?” Adni meluahkan rasa tidak
puas hatinya dengan perkembangan yang berlaku.
Memang benar seperti yang dinyatakan Hadiff beberapa
malam sebelum itu. Pihak polis pasti mengesyakinya.
Bukankah semua ini mengarut? Sedangkan ibu bapa Elena
sendiri tidak menyalahkan menantunya, masakan polis pula
melebih-lebih?
“I tak faham kenapa Hadiff nak direman? Inilah benda
yang paling kelakar pernah I dengar. Tahan Hadiff samalah
macam menyuruh pak imam menjadi mat rempit. Tak masuk
akal sungguh.”
Khairy hanya memandang tunangnya melampiaskan
marah. Dia tidak sedikitpun menahan ataupun menghalang
Adni supaya bersabar. Biarlah. Kalau itu cara Adni meluahkan
perasaan yang terbuku, dia rela mendengar Adni membebel
walaupun sehari suntuk. Semenjak Uncle Jamaluddin
menelefon memberitahu perkembangan terbaru kes Elena,
Adni bagaikan cacing kepanasan. Duduk salah. Berdiri salah.
Semuanya dirasakan serba tidak kena.
Khairy tahu Adni bimbangkan nasib teman baiknya.
Sudahlah tunang kesayangannya itu belum berpeluang berkabung
secara elok, ditambah lagi dengan penahanan Hadiff.

Hati siapa yang tidak marah? Jiwa siapa yang tidak menggelegak?
“Tak boleh ke kita jamin dia?” usul Adni setelah melihat
Khairy tidak menyampuk percakapannya dari tadi.
Khairy menggeleng sambil menyembunyikan senyum.
Mujur tidak ternampak oleh Adni. Kalau tidak, bertambah
panaslah gunung berapi yang meletup.
“Macam mana nak jamin? Dia kena tahan reman saja.
Lepas beberapa hari nanti, lepaslah dia. Lagipun polis nak
siasat apa yang berlaku sebenarnya. Lainlah kalau Hadiff
memang tengah tunggu perbicaraan. Barulah kita boleh usahakan
untuk menjamin.” Khairy berhenti menarik nafas.
“Sekarang ni, tuduhan pun belum dibacakan lagi. Polis
masih menyiasat kes ini. Walaupun Hadiff ditahan, tak bermakna
dia bersalah. Benda ini rutin, Adni. Sesiapa pun yang
terlibat secara langsung atau tak, pasti kena benda yang
sama. Polis perlu soal siasat. Macam Hadiff, dia suami Elena.
Masa kejadian, memang dia tak ada kat rumah. Nak tak nak,
kita kena akui, Hadif punya kesempatan. Melainkan Hadiff
ada alibi yang kukuh, dia tak akan apa-apa. Jangan risau.”
Khairy memujuk. Dia menghulurkan sebungkus jus tembikai
kepada Adni, namun pelawaannya itu ditolak.
“Polis mungkin tuduh Hadiff ada kesempatan. Tapi polis
kena tahu yang Hadiff tak ada motif. I kenal dia siapa, Khairy.
I tahu, dia tak lakukan semua tu. Hadiff bukan manusia
macam tu.”
Adni masih berdegil membela teman baiknya. Dia tidak
dapat menerima hujah-hujah Khairy. Entah mengapa, dia
berasakan Khairy juga seperti pihak polis yang membuat
tuduhan tanpa usul periksa. Ah! Sakitnya hati apabila tunang
sendiri tidak mahu percaya.
“I tahu dan I faham. You kenal dia dah lama. Kalau I pun
mungkin I akan rasa macam tu juga. Tapi you kena ingat,
polis tak kenal siapa Hadiff. Polis tak tahu macam mana perangai
sebenarnya. Polis kena bersikap rasional dalam perkara
ni, Adni. Sesiapa pun tak akan dituduh bersalah kalau
tak ada bukti. Kita tunggulah dulu. Biar polis buat kerja
mereka. I yakin, lepas seminggu ni, Hadiff pasti dibebaskan,”
tegasnya sehingga mematahkan kata-kata Adni.

No comments:

Post a Comment